PETALING JAYA: Kerajaan disaran tidak terlalu bergantung kepada peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) semata-mata bagi meningkatkan hasil negara, sebaliknya meneroka pelbagai bentuk cukai lain yang lebih progresif dan bersasar.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mustazar Mansur berkata, walaupun perluasan SST dilihat wajar daripada sudut pengurusan fiskal, langkah itu bukanlah satu-satunya penyelesaian jangka panjang menambah hasil negara.
Katanya, dalam keadaan ekonomi global tidak menentu dan penangguhan beberapa reformasi fiskal termasuk penyasaran subsidi RON95, kerajaan perlu mencari sumber pendapatan baharu bagi perkukuh kedudukan kewangan negara.
“Memang betul kerajaan perlu meningkatkan hasil negara, khususnya untuk memperbaiki defisit fiskal dan mengekalkan penarafan kredit yang baik. Tetapi SST bukan satu-satunya jalan.
“Pelaksanaan secara tergesa-gesa juga berisiko memberi kesan kepada rakyat jika ia membabitkan barangan dan perkhidmatan keperluan harian,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Perikatan Nasional (PN) gesa kerajaan batalkan perluasan skop SST dan kenaikan tarif asas elektrik serta menangguhkan pelaksanaan subsidi bersasar untuk petrol RON95.
Ketua Penerangan PN, Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin berkata, ketiga-tiga dasar ini akan memberi tekanan besar kepada rakyat dan komuniti peniaga yang masih bergelut dengan kesan kenaikan kos sara hidup sejak tahun lalu.
Mengulas lanjut, Mustazar berkata, kebimbangan utama adalah risiko kenaikan kos sara hidup sekiranya syarikat memindahkan beban cukai kepada pengguna.
“Paling dibimbangi apabila cukai ini dikenakan ke atas barangan asas seperti makanan, pengangkutan dan perumahan. Beban ini akhirnya ditanggung oleh rakyat, khususnya golongan B40 dan M40,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan perlu memberi tumpuan terhadap bentuk cukai lain yang boleh dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan adil tanpa menekan rakyat biasa.
“Sebagai contoh, kadar cukai korporat kepada syarikat besar yang mencatat keuntungan luar biasa boleh disemak semula. Kita tahu ada entiti korporat kekal untung walaupun dalam keadaan ekonomi mencabar.
“Pelaksanaan cukai keuntungan luar biasa (windfall tax) boleh dipertimbangkan terhadap sektor seperti minyak dan gas, komoditi serta teknologi yang memperoleh margin keuntungan tinggi berikutan perubahan pasaran,” katanya.
Sementara itu, Anggota Sekutu Malaysia, Pusat Pilihan Pengguna (CCC), Tarmizi Anuwar berkata, daripada sudut komunikasi, segala penerangan berkaitan dasar percukaian mestilah disampaikan secara berfakta, telus dan berpaksikan kepentingan pengguna.
“Kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menyediakan simulasi harga sebelum dan selepas pelaksanaan sistem baharu agar rakyat dapat memahami kesan sebenar terhadap perbelanjaan harian mereka.
“Selain itu, penglibatan organisasi pengguna bebas juga penting bagi menilai serta memberi pandangan secara terbuka, supaya komunikasi dasar tidak dilihat sebagai bersifat propaganda semata-mata,” katanya. – UTUSAN