Pelan jangka panjang bekalan makanan negara tidak terjejas ancaman iklim ekstrem

Pelan jangka panjang bekalan makanan negara tidak terjejas ancaman iklim ekstrem

MOHAMAD Sabu ketika gimik prapelancaran Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang merangka pelan jangka panjang bagi memastikan bekalan makanan negara tidak terjejas meskipun berdepan ancaman iklim ekstrem.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia termasuk melihat cadangan bagi memperluaskan pengeluaran hasil pertanian ke kawasan yang lebih stabil iklimnya seperti Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, kebergantungan kepada satu lokasi tanaman sahaja tidak lagi relevan, justeru kementerian kini menyesuaikan jadual penanaman mengikut ramalan cuaca serta memantau serangan penyakit secara berterusan.

“Usaha ini penting bagi memastikan bekalan makanan negara tidak terjejas meskipun berdepan ancaman iklim ekstrem.

“Sebab itu bagi pelan jangka panjang bekalan beras misalnya, kita kena bergantung kepada tanaman di Sabah dan Sarawak pada masa akan datang sebab kita tahu ancaman iklim. Keadaan iklim di Sabah dan Sarawak sedikit berlainan jika dibandingkan dengan Semenanjung dan begitu juga di pantai timur dan pantai barat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Prapelancaran Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas persediaan kementerian mengenai keterjaminan bekalan makanan menjelang peralihan Monsun Barat Daya bermula 10 Mei lalu hingga September depan.

Katanya, jadual penanaman padi turut diselaraskan mengikut ramalan cuaca semasa bagi memastikan hasil pertanian kekal stabil.

Bagi bekalan ternakan pula, Mohamad berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantauan berterusan termasuk melaksanakan pelbagai langkah kawalan dan pencegahan penyakit berjangkit.

Selain itu, katanya, Mohamad berkata, setakat ini, tiada laporan besar berkenaan serangan penyakit melibatkan ternakan ayam dan telur ketika ini dan ia dibuktikan menerusi keberkesanan pelaksanaan kawalan penyakit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN