MELAKA : Seorang pelajar perempuan tingkatan dua dilaporkan hilang sejak 49 hari lalu selepas dipercayai keluar dari rumah tanpa pengetahuan keluarga di Taman Seri Telok Emas, di sini.
Nor Alieya Maisarah Mohd. Hassan, 14, dilaporkan hilang pada 8 Mei lalu dan sehingga kini belum kembali ke pangkuan keluarganya.
Ibunya, Noorlaili Mahat, 53, berkata, anak bongsu daripada tiga beradik itu keluar dari rumah selepas pulang dari sekolah pada hari kejadian dan tidak dapat dihubungi sehingga ke hari ini.
Menurutnya, Nor Alieya Maisarah langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku sebelum kehilangannya dan masih bersikap ceria seperti biasa.
“Pada hari kejadian, dia balik sekolah seperti biasa, peluk dan cium saya dan suami sebelum kami makan tengah hari bersama, saya kemudian keluar bekerja pada pukul 4 petang.
“Beberapa jam kemudian anak kedua beritahu adik tiada di rumah, saya cuba hubungi telefon bimbitnya tetapi gagal, bila balik ke rumah, saya dapati beg sekolah dan beberapa helai pakaian juga sudah tiada,” katanya ketika ditemui di Taman Seri Telok Emas di sini hari ini.
Dia yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran berkata, satu laporan polis telah dibuat pada hari sama dan pelbagai usaha telah dilakukan bagi mencari anaknya.
“Saya sudah minta bantuan polis, edar maklumat di media sosial, semak CCTV (kamera litar tertutup) di kawasan sekolah dan sekitar, semuanya tidak menunjukkan petunjuk, saya juga cuba kaedah alternatif termasuk berjumpa ustaz dan pengamal perubatan Islam, tteapi masih buntu.
“Semakan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) juga mengesahkan tiada permohonan MyKad baharu dibuat kerana kad pengenalan anak saya masih ada dalam simpanan,” katanya.
Tambah Noorlaili, anaknya juga bukan remaja yang suka bergaul bebas atau mempunyai teman lelaki, malah lebih banyak menghabiskan masa di rumah.
“Saya percaya ada orang yang membawa anak saya pergi ke mana-mana, Kalau adik tengok berita atau video ini, mama mohon sangat-sangat pulanglah ke rumah,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kehilangan Nor Alieya Maisarah diminta menghubungi balai polis terdekat atau nombor 013-3882356 (Mohd.Hassan) atau 011-18909125 (Noorlaili).-UTUSAN