KUALA LUMPUR: Ketegangan di Asia Barat terus memuncak apabila ruang udara Jordan menjadi laluan serangan peluru berpandu Iran ke Israel, semalam.
Kejadian tersebut turut menimbulkan kebimbangan keselamatan dalam kalangan rakyat Malaysia di Jordan yang menyaksikan pergerakan peluru berpandu secara jelas dari langit negara itu.
Menurut pelajar Malaysia di Universiti Zarqa, Zul Fahmi Zul Fakhir, 20, dia dapat melihat beberapa roket melintas di langit dari bahagian atas bangunan rumahnya.
“Saya nampak roket melintas ke langit sekitar pukul 9 malam Jumaat waktu Jordan. Ada cahaya macam berkilat dan laju di langit.
“Memang di Jordan boleh nampak jelas (pergerakan roket atau peluru berpandu) terutama pada waktu malam,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.
Zul Fahmi yang menuntut dalam jurusan ekonomi dan perbankan Islam berkata, ini bukan kali pertama menyaksikan insiden seperti itu, malah kejadian sama turut berlaku semasa serangan Iran terhadap Israel tahun lalu.
“Setakat ini, keadaan kami di sini masih baik sahaja. Kawasan tempat tinggal saya di bandar Zarqa tidak terdengar letupan.
“Walaupun agak bimbang, penduduk di sini masih tenang dan tidak panik melihat roket melintas di langit,” katanya.
Sebelum ini, Tentera Diraja Jordan memintas beberapa dron dan peluru berpandu yang menceroboh ruang udaranya sejak awal pagi Jumaat, susulan ketegangan meningkat di rantau Asia Barat.
Insiden itu berlaku tidak lama selepas Iran berikrar untuk bertindak balas tanpa had terhadap serangan Israel ke atas wilayahnya yang membunuh 78 orang, termasuk komander tertinggi tentera dan mencederakan lebih 320 yang lain.
Kerajaan Jordan menyatakan pendirian tegas untuk tidak membenarkan ruang udaranya dijadikan laluan atau sasaran dalam sebarang konflik serantau, selain menolak menjadi medan pertempuran antara mana-mana pihak. – UTUSAN










