GERIK: Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terselamat dalam kemalangan di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Jeli-Gerik berhampiran Tasik Banding di sini hari ini mendakwa bas yang dinaiki mereka dipandu laju sebelum terbalik di bahu jalan.
Seorang pelajar yang cedera, Farhana Ab Aziz, 23, berkata, sebelum nahas itu berlaku, dia ada terdengar bunyi bising dari arah tempat pemandu dan melihat lelaki itu seperti sedang marah.
Katanya, beberapa penumpang yang tidak tidur ada menjenguk untuk mengetahui apa yang berlaku sebelum bas tersebut bergerak dalam keadaan terhuyung-hayang.
“Semasa bas bergerak dari Jertih, saya tidur dan tersedar kira-kira pukul 12.45 tengah malam. Ketika itu saya lihat pemandu bas marah-marah tetapi saya tidak tahu dia marah siapa.
“Ketika itu bas dipandu laju dan terhuyung-hayang sebelum terbalik. Masa itu saya cepat-cepat bangun untuk keluar, saya takut terpijak kawan-kawan lain,” katanya ketika ditemui di Hospital Gerik di sini hari ini.
Sementara itu, Rohadatul Aisy Mohd. Zaki, 20, berkata, kejadian itu berlaku sekelip mata sebaik sahaja dia dikejutkan oleh rakan yang memberitahu bas tersebut dipandu laju.
Katanya, dia yang tercampak di laluan tengah bas cuba untuk keluar menyelamatkan diri namun sukar ekoran keadaannya yang tidak mampu bergerak.
“Kawan cuba tarik tetapi saya tidak boleh bergerak. Hanya setelah beberapa ketika saya gagahkan diri untuk keluar dari bas.
“Sebelum bas terbabas, saya ada terhidu bau hangit, tapi tidak pasti apa puncanya,” katanya yang merupakan pelajar tahun satu jurusan pendidikan bahasa Arab.
Bagi pelajar jurusan pendidikan Bahasa Melayu, Siti Nur Najihah Shihabuddin, 21, dia hanya menyedari kejadian itu selepas merasakan bas dinaiki mereka seolah-olah berpusing sebelum terbalik.
Katanya, ketika itu dia melihat keadaan di dalam bas dipenuhi darah dengan ada rakan-rakan tersepit dan mengalami kecederaan parah.
“Sebelum terbabas, saya dan rakan memang ada terhidu bau hangit tetapi kami fikir bau itu mungkin datang dari luar. Kebanyakan yang berada di dalam bas pun ketika kejadian berlaku sedang tidur,” katanya.
Seorang pelajar, Nur Irdina Huri, 22, berkata, dalam keadaan gelap dia terpaksa merangkak keluar dari bas mengikut lubang kecil untuk menyelamatkan diri.
Dakwanya, bas yang dinaiki mereka bergerak laju dan terhuyung-hayang semasa menuruni jalan yang berbukit di lokasi kejadian.
“Ketika kejadian berlaku saya tidak tidur. Kejadian berlaku terlalu pantas dan saya tidak dapat membantu rakan kerana keadaan di lokasi sangat gelap,” katanya.
Dalam pada itu, Nurul Yusrina Yusof, 23, pelajar tahun satu jurusan Pendidikan Teknologi Maklumat berkata, jeritan rakan-rakan meminta tolong kedengaran sebaik sahaja bas dinaiki mereka terbabas.
“Ketika itu saya dan rakan-rakan keluar untuk menyelamatkan diri. Beberapa orang awam juga ada membantu membawa keluar yang lain,” katanya yang patah tulang bahu dan luka di badan.
Dalam kejadian sekitar pukul 12.45 tengah malam itu, seramai 15 pelajar UPSI maut manakala 27 lagi cedera setelah bas dinaiki mereka melanggar belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.
Kejadian berlaku ketika bas persiaran yang disewa khas itu dalam perjalanan dari Jertih ke kampus UPSI di Tanjung Malim. – UTUSAN