IPOH: Dua pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam nahas jalan raya yang meragut nyawa 15 rakan mereka di Gerik semalam, dilaporkan masih dalam keadaan trauma.
Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Noraini Ahmad berkongsi keadaan pelajar tersebut yang kini menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
“Dalam keadaan ini sekiranya terjadi kepada sesiapa pun, perasaan trauma itu semestinya ada. Apatah lagi bila kenderaan (dinaiki pelajar) itu terbalik.
“Selain daripada UPSI, kementerian juga menawarkan khidmat kaunseling kepada mangsa. Kita harapkan mereka cepat sembuh dan kembali bersemangat untuk meneruskan pengajian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Lili Suzana Mat Yaacob, 23, dan Nor Erika Elysha Mohd. Zaidi, 21, yang dirawat di HRPB.
Mengulas lanjut beliau berkata, di samping kaunseling kepada mangsa yang terselamat, khidmat sama juga diberikan kepada waris pelajar yang meninggal dunia.
“Kita telah maklumkan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu untuk menghubungi senarai keluarga mangsa bagi menawarkan perkhidmatan kaunseling,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas pertemuannya bersama Lili Suzana, Noraini berkata, pelajar itu memberitahu dia dikejutkan oleh rakan yang memaklumkan bas tersebut dipandu laju.
“Dia beritahu bas dipandu laju dan ada tegur beberapa kali kepada pemandu supaya tidak pandu dengan laju. Tadi pun dia bimbang keadaan kawan-kawannya dan minta mereka untuk kuat.
“Kita nasihatkan dia supaya jangan fikir apa-apa sebab pihak UPSI, hospital dan JKM ada tawarkan bantuan untuk mereka,” katanya.
Dalam kejadian sekitar pukul 12.45 tengah malam di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Jeli-Gerik semalam, 15 pelajar UPSI terdiri daripada lima lelaki dan 10 perempuan maut selepas bas yang dinaiki mereka terlibat nahas dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.
Kejadian berlaku ketika bas persiaran yang disewa khas itu dalam perjalanan dari Jertih ke kampus UPSI di Tanjung Malim.
Dalam kejadian itu, empat sekeluarga yang menaiki Perodua Alza turut cedera dan menerima rawatan di Hospital Baling. – UTUSAN