GOPENG: Pemilik kebun durian di Kampung Gunung Mesah di sini, lega apabila dapat mengutip hasil tanpa bimbang ancaman harimau seperti dialami pada musim sebelum ini.
Mohd. Afiq Bahar, 26, berkata, tiada lagi jejak harimau ditemukan di kawasan kebun dan mereka yakin haiwan buas itu tidak lagi berkeliaran di kawasan sekitar.
“Sekiranya tidak ada lagi gangguan harimau, kami boleh mengutip buah seawal Subuh. Musim durian 2022 kami takut hendak masuk kebun kerana kehadiran haiwan liar itu, kalau hendak masuk kebun pun perlu bersama kawan atau membakar mercun untuk menghalau.
“Kerana takutkan harimau, pernah kami tidak kutip durian yang luruh, lama kelamaan buah terbiar begitu sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kehadiran harimau di kawasan itu dikesan sekitar November 2023 apabila enam ekor lembu penduduk dibaham.
Mohd. Afiq berkata, jualan harian durian adalah kira-kira 900 kilogram sehari dengan kebanyakan pembeli terdiri daripada mereka yang melalui Jalan Gopeng-Kuala Lumpur. – UTUSAN