KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia memberikan sokongan dan bantuan kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bagi memastikan pelaksanaan tugas dan tanggungjawab menjaga pintu masuk negara lebih berkesan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail menyifatkan pelantikan Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zain sebagai Ketua Pengarah AKPS adalah satu penghormatan kepada PDRM.
Kata beliau, PDRM telah diberi kepercayaan untuk mengetuai satu lagi agensi penting bagi memastikan keselamatan negara sentiasa terkawal.
“Jadi ini bukan satu perkara yang kecil. Saya percaya ini satu amanah berat yang perlu dilaksanakan oleh Mohd. Shuhaily,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas (STT) Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah di Bukit Aman di sini hari ini.
Ekoran pelantikan Mohd. Shuhaily sebagai Ketua Pengarah AKPS, Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus memangku jawatan Pengarah JSJ Bukit Aman.
Serah terima tugas itu disaksikan Mohd. Khalid dan turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Mohd. Khalid berkata, Majlis Serah Tugas perlu diteruskan kerana ia membawa kesan moral yang baik kepada pasukan sekali gus menunjukkan kepada masyarakat umum bahawa solidariti PDRM terbaik.
“Inilah yang diperlukan supaya semangat ini dapat kita bawa bersama-sama dalam memberikan perkhidmatan terbaik bukan sahaja kepada rakyat tetapi kerajaan dalam memastikan semua agenda dapat kita laksanakan dengan baik,” katanya.
Terdahulu, Mohd. Khalid dalam ucapannya berkata, pertukaran tampuk kepimpinan yang berlangsung pada hari ini bukanlah sekadar satu urusan pentadbiran, tetapi ia juga adalah satu langkah strategik menyebarluas ciri kepimpinan, budaya kerja dan trade craft PDRM di pelbagai agensi penguat kuasa.
Katanya, ia sekali gus mewujudkan keseragaman yang diyakini berupaya memperkukuh keutuhan organisasi serta meningkatkan keberhasilan negara.
“Barisan kepimpinan tertinggi dan seluruh warga pasukan turut berasa bangga atas kepercayaan yang telah diberikan oleh kerajaan menerusi pelantikan Mohd. Shuhaily sebagai pucuk pimpinan baharu yang akan menerajui AKPS.
“Bersandarkan kredibiliti yang cemerlang, saya pasti Mohd. Shuhaily dapat menggalas amanah ini dengan sebaiknya dengan memastikan langkah strategik yang dirangka bersama mandat kepercayaan bagi memperkasakan lagi kawalan keselamatan negara dapat dicapai,” jelasnya. – UTUSAN










