PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi teguran keras ke atas sebuah media tempatan yang mengaitkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail dengan sebuah parti politik baru-baru ini.
Setiausaha PDRM, Datuk Kamaruzaman Abdullah menegaskan, pegawai polis nombor satu negara itu tidak pernah menjadi ahli mahupun memegang sebarang jawatan dalam mana-mana parti politik sebagaimana yang disiarkan.
“Kenyataan tersebut adalah tidak benar, mengelirukan serta mencetuskan persepsi salah yang boleh menjejaskan kredibiliti pasukan keselamatan negara.
“PDRM turut menegur keras kecuaian pihak media berkenaan yang menerbitkan maklumat tanpa semakan teliti.
“Tindakan tersebut bukan sahaja mencalarkan reputasi individu, malah turut menjejaskan imej institusi keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, PDRM memandang serius kesalahan pada laporan berita terbabit malah etika kewartawanan sendiri menuntut setiap laporan yang disiarkan disemak, disahkan dan ditulis dengan penuh integriti.
Katanya, PDRM sentiasa berdiri di atas prinsip neutraliti, integriti dan profesionalisme dalam segala aspek.
“Justeru, pasukan ini tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi ini.
“PDRM kekal komited dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan negara dan memelihara ketenteraman awam,” katanya. – UTUSAN