BAGAN DATUK: Kerajaan akan memastikan semua pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini, mendapat tempat di institusi pengajian tinggi (IPT) khususnya dalam negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta kementerian berkaitan memastikan semua pelajar cemerlang SPM dapat menyambung pengajian sama ada di peringkat asasi, matrikulasi atau tahun pertama di universiti.
Katanya, kerajaan tidak mahu lagi ada isu yang timbul khususnya di media massa yang menyatakan ada pelajar cemerlang SPM tetapi tidak mendapat tempat di IPT.
Beliau juga meminta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meneliti semula permohonan ke IPTA yang gagal di kalangan calon yang cemerlang.
“Ini penting bukan hanya harapan ibu bapa tetapi harapan pelajar-pelajar untuk diberi peluang sama rata melanjutkan pelajaran di IPT.
“Kita tidak mahu lagi mendengar sungutan daripada tokoh-tokoh tertentu atau pun ibu bapa yang memberitahu di dalam media bahawa anak-anak mereka yang mempunyai keputusan cemerlang khususnya ‘straight A’, tidak mendapat tempat (di IPTA),” katanya.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Kembara Kesedaran Pendidikan Anak Desa Madani (KeDESA) Didik Madani Tahun 2025 di Politeknik Bagan Datuk, hari ini.
KPT dalam kenyataannya hari ini menyatakan seramai 150,557 pelajar lepasan SPM 2024 berjaya ditawarkan tempat di IPTA selepas melalui saringan sengit.
Kenyataan itu juga berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 86,589 calon ditawarkan di universiti awam, manakala 42,058 calon ditawarkan ke politeknik, 20,427 (kolej komuniti) dan 1,483 orang di Bahagian Pendidikan Tinggi Mara.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, berkata walaupun beliau mengetahui ada tempat-tempat yang terhad di universiti, harus dicari jalan agar ada tempat untuk mereka yang cemerlang itu belajar di universiti tempatan atau luar negara.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET), turut berkata kira-kira15,000 tempat ditawarkan kepada mereka yang mahu melanjutkan pendidikan di enam universiti TVET di negara ini.
“Kita mempunyai Kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 yang diiktiraf setaraf SPM, dan lebih penting bagi mereka yang mengambil SKM Tahap 4 dan 5, diiktiraf setara diploma.
“Jadi, walaupun mungkin tidak cemerlang di dalam SPM, tetapi mereka cemerlang di dalam SKM 4 sehingga SKM 5, mereka boleh menyambung pengajian di enam universiti TVET tersebut,” katanya.
Beliau telah mengarahkan Sekretariat MTVET dan Sekretariat enam universiti tersebut, untuk memastikan pelajar memiliki SKM Tahap 4 dan 5 itu, boleh menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda, khususnya dalam bidang kejuruteraan, teknikal dan profesional.
Sementara itu, dalam program itu, beliau berkata semua pelajar cemerlang dalam SPM tanpa mengira kaum di Bagan Datuk, akan dipastikan mendapat tempat di IPT. – UTUSAN