ALOR SETAR: Khidmat Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bukan sahaja masih ditagih parti itu tetapi buah fikiran dan pendapat beliau terus diperlukan negara ini serta di peringkat antarabangsa.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beliau tidak pernah sama sekali mendengar ura-ura pengunduran Hadi sebagai Presiden Pas termasuk daripada mulut Ahli Parlimen Marang itu sendiri.
Katanya, walaupun mungkin kesihatan Abdul Hadi tidak seperti dahulu, namun keadaan itu tidak sampai ke tahap perlu memberi laluan kepada pimpinan lain untuk mengemudi Pas.
“Tak ada, tak ada (berundur), sampai orang buat cerita beliau nak berundur itu maknanya orang geruni beliau. Kita minta Tok Guru kekal kerana beliau masih boleh berkhidmat. Kita nak idea, pandangan dan nasihat beliau kerana itulah kerja presiden yang bukan campur semua hal. Susah nak cari orang seperti beliau.
“Dunia masih perlukan beliau, bukan Malaysia sahaja kerana pengalamannya tentang hubungan dengan badan-badan antarabangsa, dalam menyelesaikan konflik-konflik kemanusiaan serta politik, mendekatkan perbezaan mazhab-mazhab dalam Islam melalui Taqrib Mazahib yang disertai beliau.
“Besar fungsi beliau kepada dunia ini, dunia masih perlukan Tok Guru, Pas masih perlukan beliau dan Malaysia juga masih perlukan beliau, sabar,” katanya ditemui selepas Majlis Kolaborasi Strategik bagi Kemajuan Projek iCON Yan dan Baling anjuran Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) di sini, hari ini.
Mengulas sama ada terdapat pemilihan jawatan tertinggi Pas itu pada Muktamar Tahunan parti September ini, Muhammad Sanusi berkata, beliau belum menerima apa-apa maklumat kerana tempoh itu masih lama.
“Saya tak tahu bukan masanya lagi, tempoh untuk hantar pencalonan belum buka lagi. Bila kawasan-kawasan bermesyuarat nanti mereka yang akan buat pencalonan. Belum masanya, mengapa begitu gelojoh sekali,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi menafikan dakwaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang menyatakan Pas hanya mampu mengekalkan kedudukan sebagai parti ‘status quo’ di kawasan majoriti Melayu disebabkan ketaksuban ahlinya terhadap kepimpinan parti itu.
Beliau berkata, setiap ahli Pas dididik dengan konsep al-fahmu iaitu faham yang tidak bermaksud kepada ketaksuban, sebaliknya mereka memahami mengapa menyokong Pas dan menyertai parti itu.
“Saya nampak UMNO yang sedang merosot, dulu UMNO pernah ada 92 kerusi, sekarang UMNO tinggal 26 sahaja. Tak payah cakap pasal Pas, tengok dahulu parti sendiri yang sedang merudum dan lebih baik beri perhatian kepada hal itu.
“Banyak orang masuk politik tak faham, lepas itu berkelahi dengan bos letak jawatan. Saya tak kata kat siapa-siapa,” katanya. – UTUSAN










