MELAKA: Nyawa tiga beranak termasuk seorang warga emas yang uzur nyaris terkorban dalam kejadian ribut di Kampung Bukit Pegoh, Pernu di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, bumbung kediaman keluarga itu ‘bergulung’ sebelum berkecai akibat dipukul angin kencang.
Mangsa, Mohd. Fikri Abu Bakar, 46, berkata, dia bersama ibunya, Fatimah Mohd. Saad, 78, serta anak saudara berusia 22 tahun terselamat selepas berjaya keluar dan melarikan diri ke rumah jiran.
“Masa itu kami sekeluarga sedang tidur sebelum tiba-tiba saya terdengar bunyi ribut dan angin kuat menerbangkan bumbung rumah.
“Saya segera kejutkan emak dan anak saudara untuk keluar menyelamatkan diri kerana saya nampak atap rumah sudah bergulung,” katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.
Tambah Mohd. Fikri, situasi menjadi lebih getir kerana dia perlu memapah ibunya yang lemah kerana baharu sahaja menjalani pembedahan kanser payudara.
Katanya, bencana itu merupakan kejadian kali kedua menimpa keluarganya.
“Ini adalah kejadian kedua menimpa rumah selepas yang pertama pada Ogos tahun lalu, bermakna belum pun setahun sudah dua kali bumbung rosak. Apa pun saya bersyukur kerana kami semua terselamat, kalau lambat mungkin kami ditimpa bumbung rumah ini.
“Sebelum ini saya terpaksa mengeluarkan belanja hampir RM2,000 untuk membaiki bumbung. Saya berharap pihak berkaitan dapat membantu menghadapi bencana kali ini susulan kos pembaikan telah meningkat,” katanya. – UTUSAN