Pangkalan data khas pemandu bas dibangunkan

Pangkalan data khas pemandu bas dibangunkan

bas
ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pangkalan data khas bagi merekodkan semua pemandu bas termasuk bas ekspres dan bas persiaran akan dibangunkan sebagai langkah segera menangani isu kecuaian dan ketidakpatuhan dalam industri pengangkutan awam.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pagi tadi, susulan tragedi kemalangan maut yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Katanya, ketika ini tiada sistem berpusat yang membolehkan syarikat atau pengendali bas membuat semakan terhadap status seseorang pemandu sebelum mereka diambil bekerja.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ujarnya, keadaan itu menyebabkan pemandu yang mempunyai rekod buruk masih boleh diambil bekerja tanpa pengetahuan penuh majikan baharu.

“Kadang-kadang mungkin seorang pemandu yang buruk itu dia didapati tidak menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. Contohnya, dipecat daripada syarikat A, dia mungkin pergi ke syarikat B.

“Dengan adanya sistem ini, pengendali boleh menyemak sama ada seseorang pemandu pernah terlibat dalam kesalahan atau kecuaian sebelum membuat pelantikan.

“Pangkalan data ini akan dibangunkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan akan dilengkapi dengan maklumat lengkap berkaitan latar belakang serta sejarah kesalahan pemandu,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Kelmarin, perjalanan kembali ke kam­pus 15 pelajar UPSI berakhir tragedi apabila mereka maut selepas bas dinaiki terbabas dan terbalik merempuh penghadang jalan di kawasan selekoh di Ki­lometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JR­TB), Jeli-Gerik.

Dalam kejadian kira-kira pu­kul 1 pagi itu, 13 pelajar UPSI berusia antara 21 hingga 23 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi meninggal dunia di Hospital Gerik, sementara 27 lagi ce­dera.

Dua mangsa yang cedera pa­rah dirawat di Hospital Raja Per­maisuri Bainun (HRPB), empat di Hospital Baling, Kedah manakala mangsa lain di Hospital Gerik.

Anthony berkata, Kabinet juga mengarahkan Kementerian Pengangkutan memberi penekanan lebih tegas terhadap beberapa aspek penting dalam industri bas awam.

“Antaranya, pemantauan terhadap pematuhan permit dan pengoperasian kenderaan, latihan serta penilaian menyeluruh ke atas pemandu serta penguatkuasaan lebih ketat terhadap syarikat dan pemandu yang ingkar terhadap peraturan keselamatan.

“Semua arahan ini akan dilaksanakan dengan kerjasama agensi berkaitan bagi memastikan tragedi seperti ini tidak berulang. Kita tidak mahu ada ruang lagi untuk kecuaian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini