KUALA LUMPUR: Pan Merchant Berhad, penyedia penyelesaian penapisan pepejal-cecair menyasarkan untuk mengumpul RM67.6 juta menerusi Tawaran Awam Permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Securities Malaysia.
Tempoh permohonan IPO akan ditutup pada 17 Jun ini dan syarikat dijangka disenaraikan pada 26 Jun.
Pengarah Urusan Kumpulannya, Wong Voon Ten berkata, IPO tersebut menandakan permulaan fasa baharu dalam strategi pertumbuhan kumpulan.
“Sejak ditubuhkan, kami berkembang pesat daripada ejen penapis kepada pengeluar jenama sendiri ‘PMI’ yang kini bersaing di peringkat antarabangsa.
“Menerusi IPO ini, kami komited untuk terus mendahului industri dengan menumpukan kepada Penyelidikan, Kejuruteraan dan Reka Bentuk (RED), serta penambahbaikan produk melalui inovasi bahan dan teknologi.
“Kami juga sedang meningkatkan kapasiti pembuatan melalui pelaburan dalam jentera moden, automasi dan barisan pengeluaran baharu bagi menyokong pertumbuhan global.
“Selain itu, kami melaksanakan strategi perluasan antarabangsa dengan fokus kepada pasaran Amerika Syarikat (AS) dan Eropah yang mempunyai permintaan tinggi terhadap sistem penapisan premium,” katanya pada majlis pelancaran prospektus syarikat di sini, semalam.
Hasil daripada IPO sebanyak RM62.7 juta akan diperoleh oleh Pan Merchant, manakala baki RM4.9 juta akan diperoleh sepenuhnya oleh pihak penjual saham.
Daripada jumlah hasil kumpulan, sebanyak RM28 juta akan diperuntukkan kepada perbelanjaan modal bagi kilang pembuatan, termasuk pembelian jentera, peralatan dan alatan, serta kerja-kerja pengubahsuaian di kemudahan pengeluarannya.
Selain itu, sebanyak RM7 juta lagi diperuntukkan bagi pembangunan produk, manakala baki RM27.7 juta akan digunakan untuk perluasan perniagaan, modal kerja am dan menampung perbelanjaan penyenaraian.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kumpulan, Wong Nyeon Thiat berkata, Pan Merchant optimis untuk meningkatkan pegangan pasaran global daripada 0.5 peratus ketika ini kepada antara dua hingga tiga peratus dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Katanya, syarikat melihat potensi besar di pasaran baharu seperti AS dan Eropah susulan perkembangan memberangsangkan hasil penglibatan mereka dalam kedua-dua rantau itu sejak beberapa tahun lalu.
“Kami turut mengenal pasti pertumbuhan dalam sektor seperti air, pemprosesan mineral, perlombongan serta tenaga boleh diperbaharui seperti minyak sayuran terhidrogen yang digunakan semula menjadi bahan api penerbangan mampan,” katanya.
Mengulas lanjut berkenaan tarif import ke atas barangan Malaysia ke AS, Nyeon Thiat berkata, ia tidak memberi kesan besar kepada daya saing kumpulan berbanding pesaingnya dari Eropah.
“Ketika ini Eropah dikenakan cukai 20 peratus, Malaysia pula 24 peratus. Jadi beza bersih cuma empat peratus dan kami boleh tangani perbezaan itu dengan mudah.
“Kami tetap yakin dengan keupayaan bersaing dan akan terus meluaskan pasaran eksport global kami,” katanya.
Affin Hwang Investment Bank bertindak sebagai penasihat utama, penaja, ejen penempatan tunggal dan penaja jamin tunggal bagi latihan IPO itu. –UTUSAN











