Operasi pembenihan awan dilaksana di Empangan Malut

Operasi pembenihan awan dilaksana di Empangan Malut sebelum paras air kritikal – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana, di Putrajaya. - GAMBAR TPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Operasi pembenihan awan (OPA) akan dilakukan di empangan Malut, Kedah yang kini berada di tahap waspada bagi memastikan ia tidak turun ke paras kritikal.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia susulan musim Monsun Barat Daya ketika ini dengan kebanyakan negeri di Semenanjung dan Sarawak dijangka mengalami bilangan hari tanpa hujan yang lebih banyak.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, keadaan cuaca kering berpanjangan ini berisiko tinggi menyebabkan pelbagai impak negatif seperti isu kesihatan awam, kekurangan bekalan air, kebakaran hutan/belukar, jerebu, serta menjejaskan hasil pertanian.

Katanya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kekal berada pada tahap siap siaga tertinggi untuk menghadapi sebarang kemungkinan impak MBD dengan kekuatan keanggotaan seramai 24,053 orang dan aset logistik yang komprehensif.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan terus mempergiatkan program kesedaran awam mengenai larangan pembakaran terbuka sebagai langkah pencegahan.

“Pada tahun ini, JAS juga telah mengambil 150 tindakan penguatkuasaan termasuk kompaun, notis dan kes mahkamah terhadap pembakaran terbuka,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan melaksanakan libat urus dengan agensi-agensi terlibat bagi menyelaraskan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK), Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK), serta Prosedur Tetap Operasi (PTO) dan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada bagi mengelakkan kekeliruan dan memastikan kecekapan tindakan rentas agensi di lapangan.

Katanya, penggunaan perigi tiub dan pam air Jabatan Pengairan Saliran (JPS) boleh diperluaskan untuk diguna pakai oleh agensi tindak balas seperti JBPM, khususnya bagi operasi pemadaman kebakaran semasa dan di luar musim Monsun Timur Laut.

“Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kapasiti tindak balas, malah mengoptimumkan nilai pelaburan awam.

“Dalam usaha bersama menghadapi situasi ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri (JPBN) juga digesa untuk mengambil langkah sewajarnya, termasuk mengarahkan pengendali air meningkatkan kecekapan operasi mereka serta menyediakan sokongan logistik untuk mobilisasi bekalan air ke kawasan terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, Kata beliau, segala bentuk bantuan termasuk Bantuan Wang Ihsan (BWI), mestilah disalurkan secara adil, telus dan berasaskan keperluan, tanpa mengira latar belakang politik, agama, mahupun kaum.

Untuk itu, katanya, satu inisiatif penambahbaikan BWI juga telah dibangunkan dengan kerjasama Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi mempercepatkan proses pembayaran bantuan tanpa kerenah birokrasi dan pembayaran dapat disegerakan kepada satu hingga tiga hari selepas Pusat Penempatan Sementara (PPS) ditutup.

Katanya, langkah ini lebih baik berbanding tempoh satu hingga enam bulan sebelum ini dan Inisiatif BWI-BSN ini dijangka dilaksanakan bermula Monsun Timur Laut 2025/2026.

“Saya turut menegaskan prinsip “No One Left Behind” dari segi bentuk pengagihan bantuan kepada mangsa bencana.

“Ini adalah cerminan komitmen kita terhadap kesejahteraan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN