BESUT: Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nurly Shahirah Azman, 23, yang maut dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak, hari ini adalah seorang huffaz al-Quran dan bercita-cita menjadi guru pendidikan khas.
Abangnya, Mohd. Najmuddin, 28, berkata, Nurly Shahirah tidak pernah lengkang daripada kitab suci itu dan menjadi amalannya setiap malam mengaji selain turut menghafal 30 juzuk al-Quran.
“Saya sempat berjumpa dengannya semalam sebelum dia bertolak ke UPSI dan memaklumkan ingin ke rumah saya di Kajang, Selangor, minggu depan.
“Saya hanya mengetahui kejadian yang menimpanya apabila dihubungi ayah pagi ini. Ketika itu saya berada di Gua Musang dalam perjalanan pulang ke Kajang. Saya terus menghubungi hospital dan talian bilik gerakan polis untuk mengesahkannya sebelum berpatah balik, ” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Gong Pasir, dekat Jabi di sini.
Katanya, ketika menghubungi pihak hospital dia dimaklumkan nama adiknya tiada dalam senarai pelajar yang dimasukkan ke wad, sebelum mengetahui adiknya itu meninggal dunia.
Sementara itu, abang sulung mangsa, Mohd. Farid Firdaus, 36, terkilan kerana tidak sempat melihat adik bongsunya itu mencapai cita-citanya menjadi seorang guru pendidikan khas.
“Cita-citanya sejak kecil untuk menjadi seorang pendidik dan dia sepatutnya menjalani latihan praktikal Ogos ini sebelum menamatkan pengajiannya di UPSI.
“Kami reda meskipun masih terkejut dengan kehilangan mengejut Nurly Shahirah yang menjadi harapan keluarga,” katanya. – UTUSAN