Cik Bunga tergerak hati juga nak menyentuh sedikit mengenai pelakon cantik tanah air yang seorang ini. Siapa lagi kalau bulan Nora Danish.
Seingat Cik Bunga, ada beberapa kali juga si empunya diri ini membuat kenyataan manis apabila dia seakan memberi ‘tanda isyarat’ mengenai soal perkahwinan.
Mungkin secara tidak langsung kenyataan itu dikeluarkan, tetapi dari segi percakapan dan lenggok gayanya, Cik Bunga dapat rasakan apa yang diluahkan oleh Nora menerusi temu bual-temu bualnya bersama rakan media adalah tulus dan lahir dari jiwa.
Cik Bunga dapat ‘hidu’ bahawa Nora seakan memberi gambaran halus bahawa dia memang hendak kembali berumah tangga dan memegang gelaran isteri orang.
Cuma, iyalah, siapa bakal suaminya itu tidaklah diketahui. Mungkin juga Nora sebenarnya sudah ada calon, tapi sedang dalam tempoh kenal-kenal dulu orang kata. Ini cuma telahan Cik Bunga sahaja.
Pun begitu, Cik Bunga puji Nora sebab dia tidak pernah padam keinginan untuk berkahwin lagi meskipun pernah melalui fasa perceraian sebelum ini.
Ada orang, sekali bercerai, memang sudah serik hendak berkahwin lagi. Tetapi nampaknya Nora tidak begitu.
Kalau benarlah Nora sudah ada calon suami, Cik Bunga harap Nora tak adalah sorok-sorokkan. Ada berita baik, berita bahagia, sudi-sudikanlah kongsikan dengan kami semua.
Tentulah kita doakan yang baik-baik buat Nora, mudah-mudahan Nora kesayangan ramai ini dipertemukan dengan bakal suami yang menepati kriteria pilihan Nora. Yang penting, lelaki yang tepat!