PETALING JAYA : Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenal pasti menggunakan wang hasil penyelewengan dana orang ramai untuk membeli barang kemas, kereta, tanah dan rumah termasuk membeli mata wang kripto berjumlah keseluruhan RM26 juta.
Bukan itu sahaja, wang dari hasil dana awam dan lebihan projek pembinaan telaga bagi misi kemanusiaan di Syria turut digelapkan untuk kegunaan sendiri dengan dipindah ke akaun peribadi mereka.
Kegiatan NGO terbabit bagaimanapun terbongkar selepas lima suspek termasuk pengerusi, setiausaha, bendahari dan pegawai kewangan NGO ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Op Serantau.
Satu sumber mendedahkan, serbuan dibuat di beberapa lokasi di sekitar Selangor, Melaka dan Pulau Pinang bermula pada Khamis lalu.
Kata sumber, lima suspek terbabit kini direman tujuh hari iaitu empat daripadanya direman sehingga Rabu dan seorang lagi sehingga Khamis ini.
Katanya, modus operandi untuk menyeleweng dana tersebut hampir sama seperti dilakukan sebuah pertubuhan lain sebelum ini.
“Mereka juga dipercayai memindahkan dana pertubuhan ke akaun peribadi bagi memberi pinjaman kepada kakitangan pertubuhan terbabit, selain menggelapkan wang lebihan projek pembinaan telaga bagi misi kemanusiaan di Syria untuk kegunaan sendiri,” jelasnya.
Menurut sumber, kegiatan menyeleweng dana hasil sumbangan orang ramai itu dipercayai berlaku sejak 2015 hingga sekarang.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penangkapan itu.
Beliau berkata, SPRM sudah menyita pelbagai aset berjumlah lebih RM8 juta iaitu wang tunai lebih RM1 juta, barang kemas dianggarkan bernilai kira-kira RM100,000, akaun kripto bernilai kira-kira RM650,000 dan empat unit rumah dianggarkan bernilai lebih RM1.4 juta dalam operasi berkenaan.
Jelas beliau, SPRM juga sudah membekukan 14 akaun perbankan membabitkan jumlah hampir RM5 juta bagi tujuan siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan SPRM menahan empat individu termasuk tiga ahli jawatankuasa sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana disyaki bersubahat menyeleweng dana milik NGO di tempat mereka bekerja.
Suspek terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30-an itu ditahan antara 4 petang hingga 7 malam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM, Melaka.
Susulan itu, SPRM kemudian menahan pengerusi NGO berusia 30-an itu kerana disyaki menyalah guna kuasa dengan menyeleweng dana milik NGO di tempatnya bekerja. – UTUSAN