Nahas UPSI: Polis rakam keterangan 18 saksi

Nahas UPSI: Polis rakam keterangan 18 saksi

NOOR Hisam Nordin (tengah) dalam sidang akhbar di IPK Perak hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis telah merakam percakapan 18 individu bagi membantu siasatan berkaitan kes kemalangan tragis yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat Gerik-Jeli, Gerik kelmarin.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, keterangan yang diambil membabitkan 13 pelajar UPSI, pasangan suami isteri yang menaiki kereta Perodua Alza, pemilik kamera papan pemuka (dashcam) dan dua doktor forensik Hospital Gerik.

Katanya, setakat ini pihaknya belum mengambil keterangan pemandu bas dan pembantunya yang kini sedang dirawat di Hospital Taiping.

“Siasatan terperinci kes ini sedang dijalankan melibatkan beberapa agensi lain seperti Puspakom, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Kimia, Institut Keselamatan Jalan Raya (Miros) dan Unit Dron Pasukan Gerakan Udara.

“Setakat ini, kita hanya menerima satu dashcam dan rakaman itu akan dihantar ke bahagian forensik polis di Bukit Aman untuk dianalisis,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Menurut beliau, reman terhadap pemandu bas akan dijalankan selepas lelaki berusia 39 tahun itu selesai mendapatkan rawatan dan dibenarkan pulang dari hospital.

“Sehingga hari ini, 15 mangsa masih menerima rawatan di mana lapan pelajar di Hospital Taiping, dua pelajar di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan tiga penumpang Perodua Alza di Hospital Baling,” katanya.

Dalam kejadian pada pukul 12.45 tengah malam berhampiran Tasik Banding itu, sebuah bas persiaran membawa 42 pelajar UPSI dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar sebuah MPV dinaiki empat sekeluarga.

Kemalangan itu menyebabkan 15 pelajar UPSI terdiri daripada lima lelaki dan 10 perempuan maut manakala pemandu dan penumpang MPV cedera.

Kejadian berlaku ketika bas persiaran yang disewa khas itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke kampus UPSI di Tanjung Malim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN