GERIK: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menubuhkan pasukan penyiasat teknikal berhubung insiden kemalangan maut melibatkan sebuah bas dengan Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli dekat sini awal pagi tadi.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi melengkapkan kertas siasatan.
“Kami akan tubuhkan satu pasukan khas teknikal untuk membantu pegawai penyiasat saya dalam menjalankan siasatan dan melengkapkan kertas siasatan secepat mungkin untuk kami dakwa pemandu tersebut ke mahkamah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mengalami kecederaan ekoran kemalangan itu di Unit Kecemasan Hospital Gerik di sini hari ini.
Dilaporkan bas dinaiki 42 pelajar UPSI dan dua orang pemandu berkenaan terlibat kemalangan dengan sebuah Perodua Alza sehingga mengorbankan 15 pelajar institusi pengajian tinggi tersebut.
Kata Mohd. Yusri, turut mengganggotai pasukan petugas khas berkenaan adalah Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), Jabatan Kimia, Kementerian Kesihatan, Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya negeri dan Pasukan Gerakan Udara (PGU).
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut untuk tampil dan berkongsi informasi berkenaan dengan pasukan siasatannya.
“Jangan hanya viral dalam media massa dan sebagainya. Ini akan menambah lagi persepsi atau kekeliruan di dalam siasatan. Kita tidak mahu mengganggu siasatan yang dijalankan oleh pegawai penyiasat JSPT itu sendiri,” katanya. – UTUSAN