PETALING JAYA: “Sedang orang lain lena tidur seawal pukul 3 pagi, saya dan kakitangan yang lain sudah terpacak di hospital dan bersedia merawat pelajar yang terlibat dalam kemalangan di Gerik.”
Itu perkongsian penuh makna oleh pegawai perubatan di Hospital Gerik, Dr. Muhammad Adam Muskhan yang menjadi pasukan hadapan pertama merawat pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berdekatan Tasik Banding, Gerik, awal pagi kelmarin.
Beliau malah turut mengagumi komitmen yang ditunjukkan oleh kesemua petugas perubatan di hospital itu yang bersengkang mata membantu mangsa kemalangan yang mengalami kecederaan.
Katanya, kerjasama itu membuktikan segala cabaran boleh diatasi khususnya ketika waktu-waktu genting.
“Alhamdulillah, satu pengalaman pahit dan manis yang sukar dilupakan bagi kami di hospital kecil. Namun, apa yang paling terkesan di hati saya adalah komitmen luar biasa yang ditunjukkan oleh para kakitangan.
“Terima kasih kepada semua staf Hospital Gerik yang terlibat. Andalah hero saya. Tanpa kalian, perjalanan pagi tadi (Isnin) pastinya terasa jauh lebih panjang dan sukar. Hari ini, kita buktikan bila bersama kita boleh atasi cabaran.
“Inilah wira-wira yang tidak didendang. Sering disalah erti, namun apabila tiba saatnya, kitalah yang berdiri di barisan hadapan, menyumbang bakti tanpa banyak bicara,” katanya menerusi perkongsian dalam Facebooknya, semalam.
Pada masa sama, Dr. Muhammad Adam turut menghargai pengorbanan pelbagai pihak termasuk Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berganding bahu menghulurkan bantuan.
“Tidak dilupakan juga, terima kasih kepada PKD, APM, PDRM, Bomba dan semua agensi yang turut sama berganding bahu. Anda semua memang terbaik.
“Takziah kepada semua mangsa dan keluarga yang terkesan. Semoga diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian ini,” katanya. – UTUSAN