BALING: Kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dinaiki empat beranak yang terlibat dalam nahas tragis di Gerik, Perak semalam dikatakan berpusing beberapa kali selepas dilanggar bas yang membawa 42 orang penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Perkara itu diceritakan semula oleh pemandunya, Mohd. Lutfi Radzi, 37, kepada Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Kedah, Mansor Zakaria yang menziarahi keluarga itu di Hospital Baling.
Mansor berkata, setelah berpusing beberapa kali akibat dirempuh bas terbabit dari arah belakang, kereta berwarna merah yang dalam perjalanan pulang dari Terengganu itu terbabs ke dalam longkang di laluan bertentangan.
“Di sebelah kanan jalan tempat mereka terjatuh dalam longkang itu pula ada gaung dan mangsa andaikan bas terbabit mungkin sedang bergerak laju.
“Dia maklumkan bersyukur sangat-sangat isteri dan anak-anaknya selamat walaupun keadaan kereta amat teruk,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Menurut Mansor, isteri mangsa, Nurul Ain Zakaria, 36, yang mengalami patah tulang rusuk sebelah kiri masih dalam proses rawatan dan pemantauan kerana turut mengalami kesukaran untuk bernafas.
“Begitu juga anak sulung mereka, Nur Aisyah Nafishah, 6, yang patah paha kanan masih dirawat di wad yang sama dengan ibunya untuk memudahkan pemantauan.
“Mohd. Lutfi juga semakin beransur pulih dan anak bongsunya, Muhammad Ahsan Nafis, 2, tiada sebarang kesan luka di badannya. Keempat-empat mereka dalam keadaan tenang walaupun dua daripadanya masih dirawat,” katanya.
Dalam tragedi di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding itu, seramai 15 penuntut UPSI meninggal dunia setelah bas dinaiki mereka terbabas dan melanggar pembahagi jalan.
Kesemua mereka bertolak dari Jerteh, Terengganu menaiki bas yang disewa khas untuk pulang ke kampus di Tanjung Malim, Perak setelah pulang bercuti sempena Hari Raya Aidiladha di kampung masing-masing. – UTUSAN