IPOH: Pemandu bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan tragis sehingga meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik pada Isnin lalu telah ditahan polis.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan sekitar pukul 5.45 petang selepas dibenarkan keluar dari hospital.
Katanya, suspek warga tempatan itu akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kita sedang menunggu arahan lanjut daripada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) sama ada pemandu bas itu boleh didakwa di mahkamah esok atau sebaliknya.
“Di pihak polis, kita sudah bersedia,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, lelaki itu yang dirawat di Hospital Taiping diiring tiga anggota polis dari IPD Gerik masuk ke dalam kereta peronda (MPV) dalam keadaan tangan bergari dan ditutup tuala.
Lelaki terbabit yang mengalami kecederaan di tangan dirawat di hospital tersebut sejak hari pertama nahas itu berlaku Isnin lalu.
Dalam kejadian pada pukul 12.45 tengah malam di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding itu, sebuah bas persiaran membawa 42 penuntut UPSI dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar sebuah MPV dinaiki empat sekeluarga.
Kemalangan itu menyebabkan 15 pelajar UPSI terdiri daripada lima lelaki dan 10 perempuan maut manakala pemandu dan penumpang MPV cedera.
Kejadian berlaku ketika bas persiaran yang disewa khas itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke kampus UPSI di Tanjung Malim. – UTUSAN