PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menyalurkan segala bantuan yang diperlukan susulan kemalangan yang membabitkan warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi tadi.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam hantaran di akaun Facebooknya turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan yang membabitkan warga universiti itu.
“Salam takziah untuk keluarga mangsa kemalangan yang turut membabitkan warga Universiti Pendidikan Sultan Idris awal pagi tadi.
“Sebarang maklumat lanjut akan dikemaskini. KPT akan menyalurkan segala bantuan yang diperlukan,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan sekurang-kurangnya 15 maut dalam nahas membabitkan sebuah bas dan kenderaan pelbagai guna di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak pagi tadi.
Kejadian sekitar pukul 1 pagi itu melibatkan sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). – UTUSAN