PETALING JAYA: Polis akan menyiasat dakwaan bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik awal pagi tadi dikatakan dipandu laju.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya akan menyiasat dari pelbagai sudut termasuk dakwaan bas itu dipandu laju.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.
“Mereka diminta hadir ke balai polis berdekatan atau berhubung dengan pegawai penyiasat bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sebelum ini, tular kenyataan di laman sosial oleh seorang individu mendakwa bas tersebut memotong kenderaannya dan dipandu dengan laju.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan pihak polis sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca kemalangan membabitkan sebuah bas membawa pelajar UPSI dan Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik awal pagi tadi.
Mohd. Yusri dilaporkan berkata, setakat ini, seramai 15 mangsa disahkan meninggal dunia dalam kejadian terbabit.
“Setakat ini, saya boleh sahkan bahawa 15 orang telah disahkan meninggal dunia. Sekurang-kurangnya 27 lagi mengalami pelbagai kecederaan dan telah dihantar ke Hospital Gerik untuk rawatan lanjut.
“Punca kejadian masih dalam siasatan. Kita akan menjalankan siasatan secara menyeluruh dan terperinci berhubung kejadian ini,” katanya. – UTUSAN