PETALING JAYA: Pelakon, Nadiya Nissa bersyukur apabila azamnya untuk menghantar ibunya menunaikan ibadah haji menjadi momen paling bahagia buat dirinya tahun ini.
Kata Nadiya, azam itu sudah ditanam bersama adik-beradiknya sejak awal tahun lalu demi merealisasikan impian ibunya yang sudah lama mendambakan jemputan ke Tanah Suci Mekah pada bulan mulia ini.
“Meniti jejak Haji 1445H, hati ini belajar berserah sepenuhnya. Kerana hanya Dia (Allah) yang Maha Kuasa, sedang kita, makhluk-Nya, tiada daya dan upaya. Di situlah ujian bermula, dan di sanalah pengorbanan benar-benar terasa.
“Alhamdulillah, Allah menghantar jemputan kepada kami pada bulan Ramadan 2024. Sebenarnya, bermula awal tahun lagi kami adik beradik sudah berazam untuk hantar mama tunaikan haji.
“Kena kumpul duit dan mama kena sihat. Setiap tahun mama merayu tapi 2024 Allah hantar khabar gembira,” tulisnya dalam hantaran di Instagram.
Disaat rasa bimbang menyelubungi diri tentang kebajikan dan kesihatan ibunya di sana, Nadiya juga meluahkan rasa syukur apabila niat baiknya itu turut disahut dengan jemputan yang sama bersama suami tercinta, Saiful Razman Mohd Kassim.
“Masya-Allah, saat kita letakkan ibu kita sebagai keutamaan semuanya Allah bagi mudah. Allah jugalah yang cukupkan rezeki kami boleh ikut mama tunaikan haji. Kalau tak, mungkin dapat dekat adik-beradik lain.
“Walaupun tak terfikir untuk melakukannya seawal usia ini, niat saya dan suami cuma hendak berkhidmat untuk mama saja. Tapi yang kelakarnya mama lah orang yang paling sihat sepanjang berada di sana. Kami batuk-batuk dan demam.
“Allah pilih jalan ini buat kami. Banyak sangat kami pelajari sepanjang perjalanan ini. Alhamdulillah. Kami tolak kerusi roda mama dari Arafah ke Muzdalifah dan Jamrah. Semua atas dorongan-Nya,” kongsinya.
Menerusi hantaran tersebut, pelakon drama Adam dan Hawa itu turut berkongsi pengalamannya sepanjang menunaikan ibadah haji di Tanah Haram.
Menurut Nadiya, pengalaman menunaikan ibadah haji bersama insan tersayangnya itu merupakan momen paling indah buat dirinya.
“Berapa keping gambar dia (mama) nak tangkap kita layankan saja. Saya sayang mama sampai syurga. Ini adalah lawatan bersama mama yang paling bermakna buat saya setakat ini,” ujarnya.










