MPKL kembali benarkan masa tambahan operasi tapak pembinaan

MPKL kembali benarkan masa tambahan operasi tapak pembinaan

Operasi tapak pembinaan
TAPAK pembinaan dibenarkan beroperasi sehingga tengah malam pada hari bekerja dan pada pukul 8 pagi hingga 6 petang pada Ahad. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) kembali membenarkan tambahan masa operasi tapak pembinaan sehingga tengah malam dan pada hari Sabtu serta Ahad bermula 1 Julai ini.

Pengarah Korporatnya, Hashila Hamzah berkata, tempoh operasi dibenarkan sehingga tengah malam pada Isnin hingga Sabtu dan pukul 8 pagi hingga 6 petang pada hari Ahad diseragam dengan seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor, namun tertakluk kepada syarat ditetapkan.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat selepas kelulusan secara dasar melalui Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang mana waktu operasi itu hendaklah diluluskan melalui Jawatankuasa Unit Setempat (JKOSC) dengan mempertimbang beberapa perkara sebelum memberi kelulusan.

“Langkah tersebut merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk mempercepat kemajuan pembinaan, khususnya di kawasan strategik, dan diseragamkan pelaksanaannya di seluruh negeri ini,” katanya kepada pemberita, baru-baru ini.

Sebelum ini MMKN pada September 2021 meluluskan penyeragaman operasi waktu bekerja di tapak pembinaan bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang dan larangan pada Ahad serta cuti am atau umum.

Jelas Hashila, bagaimanapun permohonan tambahan waktu operasi tersebut hanya bersifat sementara dan kerja-kerja tidak boleh diteruskan selepas tempoh permit tamat melainkan permohonan baharu dikemukakan.

“Pemohon bertanggungjawab sepenuhnya memastikan kawasan projek sentiasa terkawal dan mematuhi segala undang-undang yang ditetapkan. MPKL tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian yang ditanggung oleh pemaju akibat pelanggaran syarat atau arahan teknikal.

“Sebarang ketidakpatuhan akan dikenakan tindakan penguatkuasaan sebagaimana diperuntukkan dalam peraturan yang berkuat kuasa. Kadar bayaran bagi setiap permohonan Permit Tambahan Waktu Operasi Tapak Bina di kawasan pentadbiran MPKL telah ditetapkan sebanyak RM3,000 sebulan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, permohonan hendaklah dikemukakan kepada Jabatan Kawalan Bangunan MPKL dengan mengemukakan Borang Permohonan Tambahan Waktu Operasi Tapak Bina bersama dokumen sokongan yang diperlukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN