MOT minta Prasarana pasang pintu platform penumpang di semua stesen LRT

MOT minta Prasarana pasang pintu platform penumpang di semua stesen LRT

ANTHONY Loke ketika sidang akhbar di MOT, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) meminta Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) untuk memasang pintu platform penumpang di semua stesen Transit Aliran Ringan (LRT) sebagai mempertingkatkan langkah keselamatan.

Menterinya, Anthony Loke berkata, ini kerana beliau mendapati masih terdapat stesen LRT terutamanya melibatkan rangkaian lama yang masih tidak mempunyai pintu platform penumpang.

“Untuk stesen Mass Rapid Transit (MRT) baharu, memang ada pintu platform iaitu ada satu pintu sebelum tren sampai. Monorail telah kita siapkan, cuma untuk LRT Ampang dan ada stesen-stesen yang dengan reka bentuk lama, belum ada pemasangan pintu di platform,” katanya menerusi sidang akhbar di MOT di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung insiden kematian seorang lelaki warga Taiwan yang dipercayai terjatuh ke landasan LRT di Stesen Pusat Bandar Puchong, semalam.

Mengulas lanjut, Loke berkata, pihaknya akan mempertimbnangkan sewajarnya dari segi kos tinggi bagi pemasangan pintu platform penumpang itu demi mengutamakan keselamatan di stesen-stesen.

“Prasarana tengah buat perancangan, sebab semuanya akan melibatkan bajet yang besar untuk pembangunan tersebut,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Loke memaklumkan, beliau telah menerima laporan mengenai insiden berkenaan dan menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Kita tahu bahawa itu memang satu kemalangan tetapi kita biarkan pihak polis membuat siasatan dan kamera litar tertutup (CCTV) itu akan diserahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan lebih terperinci,” katanya.

Ditanya sama ada pihak keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai insiden itu, Loke berkata, pihak Prasarana akan melaksanakan tindakan susulan dan berhubung dengan Wisma Putra mengenai perkara tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN