KOTA BHARU: Dua Naib Presiden Pas iaitu Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor antara individu yang dilihat paling layak menggalas tanggungjawab sebagai Presiden parti itu sekiranya Tan Sri Abdul Hadi Awang berundur.
Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd. Zulhazmin Hassan berkata, walaupun tidak setanding Abdul Hadi, kedua-dua individu dilihat sebagai calon terbaik selepas Pas berdepan krisis mencari pengganti kepada Ahli Parlimen Marang berkenaan.
“Mohd. Amar dari sudut karisma pentas, beliau dilihat sebagai individu yang tegas dalam mempertahan Pas dan berani menyuarakan pendirian serta kekal setia walaupun diketepikan dalam pelantikan sebagai Menteri Besar Kelantan.
“Karakter ‘taat tanpa banyak soal’ menjadikan beliau calon konsensus dalam kalangan ahli konservatif Pas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Zulhazmin berkata, penerimaan ahli terhadap Muhammad Sanusi membuktikan Pas sudah bersedia menerima pendekatan populis dan hiburan politik walaupun Menteri Besar Kedah itu tidak mempunyai latar belakang agama.
“Gaya ceramah Naib Presiden Pas itu yang kasar, menyerang peribadi lawan serta keberaniannya menjadi diri sendiri tanpa jubah dan kopiah merupakan ‘pembaharuan’ buat parti tersebut.
“Ia memperlihat Pas tidak lagi menjadikan agama sebagai tipu helah dalam politik,” ujarnya.
Beliau yang juga Ketua Pemuda Amanah Kelantan berkata, Abdul Hadi dilihat sudah tidak sesuai untuk menggalas tanggungjawab sebagai Presiden jika Pas mahu mentadbir negara pada masa hadapan.
Katanya, Abdul Hadi kini menjadi simbol pendekatan politik yang lapuk dan kenyataan bersifat provokatif menjauhkan Pas daripada golongan profesional, anak muda, dan pengundi bandar.
“Abdul Hadi hanya relevan kepada kelompok yang masih percaya bahawa agama boleh terus dijadikan alat politik untuk meraih kuasa, walau dengan memperdagangkan sentimen.
“Jika Pas mahu kekal sebagai parti konservatif, jumud dan ‘anti-kemajuan’ teruslah beri sokongan kepada Abdul Hadi. Beliau sudah lama menjadi beban kepada Pas,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan, Abdul Hadi dikatakan memberi bayangan untuk berundur daripada jawatan tersebut atas faktor kesihatan.
Difahamkan, Ahli Parlimen Marang itu menyampaikan hasrat tersebut kepada barisan kepimpinan tertinggi dalam satu retreat parti pada hujung minggu lalu yang diadakan di Terengganu. – UTUSAN










