Minuman buah D’Lekir sedia tembusi pasaran antarabangsa

Minuman buah D’Lekir sedia tembusi pasaran antarabangsa

MUHAMMAD Ikmal Ahmad Zaki menunjukkan produk minuman berasaskan buah-buahan yang dihasilkan di kilangnya di Taman Lekir Maju di Lumut. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Sejak mula menghasilkan produk minuman berasaskan buah-buahan pada 2017, seorang usahawan muda di Taman Lekir Maju di sini, Muhammad Ikmal Ahmad Zaki, 29, berjaya meraih pendapatan kasar sebulan sehingga enam angka.

Malah lulusan Diploma Intrumentasi Proses dan Kawalan dari German Malaysian Institute (GMI) dan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu kini mempunyai sebuah kilang sendiri dengan fasiliti moden dan canggih selain mampu menggaji seramai 21 orang pekerja tempatan.

Pengarah Urusan NZ Food And Beverages ini menerima bantuan berterusan daripada beberapa jabatan dan agensi kerajaan termasuk kerajaan negeri seperti Jabatan Pertanian Perak, MARA, Tekun, Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp. Malaysia) dengan nilai geran berbentuk peralatan mesin dan latihan bernilai hampir setengah juta ringgit.

Dia mempunyai enam stokis, pasaran di 200 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negara, 700 outlet termasuk pasar raya terkenal dan stesen minyak selain produknya terdapat di 700 mesin layan diri.

“Bantuan-bantuan ini telah melonjakkan perniagaan, merangka strategi dan pemasaran yang cekap, analisis yang tepat selain inovasi produk baharu untuk setiap segmen pelanggan.

“Melalui STeP, produk minuman jenama D’Lekir terlibat dalam ekspo di Brunei dan azam saya dapat menembusi pasaran Asia Tenggara, Asia, Afrika serta Eropah.

“Saya bercadang untuk mengapungkan syarikat dalam Pasaran Bursa Malaysia dalam tempoh 10 tahun akan datang yang dapat direalisasikan dengan bantuan berterusan kerajaan negeri Perak,” katanya.

Produknya mendapat pengiktirafan Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu Makanan Selamat Tanggungjawab Industri atau MeSTI dan Healthier Choice, Halal Malaysia dan Produk Malaysia oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Perkembangan ini selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah Niche daerah Manjung sebagai Koridor Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Malaysia iaitu Lembah Makanan Lekir dengan tumpuan pertanian, perniagaan dan perkhidmatan.

 

 

Ia juga menepati Flagship kelima Perak Sejahtera 2030 iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat iaitu 1 Keluarga 1 Usahawan cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi memacu negeri ke arah kemajuan dan mensejahterakan rakyat.

Kejayaan membina perniagaan sendiri bermula selepas Muhammad Ikmal melibatkan diri dalam bidang perniagaan sejak kecil dengan membantu ayahnya menjual buah-buahan selain menjual air balang hasil bantuan Jabatan Pertanian Perak.

Menurutnya, sepanjang berniaga, dia melakukan kajian lapangan dan penyelidikan pasaran yang mendapati tidak ramai usahawan khususnya kaum Bumiputera yang terlibat menghasilkan produk minuman.

“Setelah belajar di universiti untuk mendapatkan ilmu lebih mendalam saya tekad untuk menceburinya.

“Lapan tahun telah berlalu, sekitar sembilan unit simpanan stok (sku) terhasil merangkumi tiga kandungan milimeter (mm) berbeza dengan jualan kasar mampu mencecah enam angka sebulan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN