PETALING JAYA: “Fatima ke yang buat hantaran ini? Kenapa daddy buat video call (panggilan video) tak angkat?”
Demikian respons pelakon Fattah Amin yang keliru melihat perkongsian puteri kesayangannya, Nur Fatima Aisya yang merayu memintanya bawa bercuti ke Disneyland di Tokyo.
Perkongsian yang dimuat naik di akaun Instagram milik si cilik tersebut juga mencetuskan tanda tanya dalam kalangan warganet sama ada benarkah Fatima yang berkongsi video berkenaan.
“Daddy, bila daddy nak bawa Fatima pergi Tokyo Disneyland? Fatima mahu pergi. Fatima mahu pergi dengan daddy, dengan nenda, dengan atuk, Naila dan Nukman,” katanya.
Lebih menyentuh hati, rayuan tersebut turut diselitkan dengan ungkapan sayang dari satu-satunya anak perempuan pelakon drama bersiri Hero Seorang Cinderella itu.
“Daddy, Nyamma mahu (pergi Disneyland). Tolong, saya sayang daddy,” katanya dalam video tersebut.
Tercuit hati melihat videi tersebut, rata-rata warganet berharap agar Fattah dapat menunaikan permintaan anak tunggalnya itu untuk bercuti bersama datuk, nenek dan sepupunya.
“Comelnya Fatima. Mesti daddy terkejut dan tersentak kan. Punyalah mendayu-dayu Fatima minta nak pergi Disneyland Tokyo. Daddy kena cepat tunaikan. Daddy kan jutawan dan banyak ‘job’,” komen netizen.
Untuk info, Fattah pernah mendirikan rumah tangga bersama aktres popular, Nur Fazura pada 27 November 2017 namun bercerai pada 7 Oktober 2024.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya.-UTUSAN