Mesyuarat pertama MMM berlangsung sebulan dua lagi - Fahmi Fadzil

Mesyuarat pertama MMM berlangsung sebulan dua lagi – Fahmi Fadzil

FAHMI Fadzil (dua dari kiri) ketika meninjau pelaksanaan pengukuran kualiti perkhidmatan menggunakan aplikasi MCMC NEXUS merangkumi laluan dari Pusat Konvensyen PICCA Butterworth ke NADI Kubang Semang di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) bakal memasuki fasa penting apabila mesyuarat awal majlis itu dijangka berlangsung dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, selepas ditubuhkan secara rasmi, Lembaga Pengasas MMM akan diberikan tempoh selama enam bulan untuk melaksanakan pemilihan jawatankuasa tetap.

Bagaimanapun, Fahmi berkata, proses penubuhan MMM dijangka mengambil sedikit masa kerana ia memerlukan penelitian rapi khususnya daripada aspek kewangan.

“Saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha kementerian untuk meneliti cara yang paling sesuai bagi memastikan peruntukan kewangan yang dirancang dan direncanakan dapat disalurkan dengan lancar.

“Malah, akta yang telah berkuat kuasa juga membolehkan MMM menerima dana daripada pelbagai sumber yang sah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan pelaksanaan pengukuran kualiti perkhidmatan menggunakan aplikasi MCMC NEXUS merangkumi laluan dari Pusat Konvensyen PICCA Butterworth ke NADI Kubang Semang di sini, hari ini.

Usaha membentuk MMM dibuat selepas Rang Undang-Undang (RUU) MMM diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, masing-masing pada 26 Februari serta 19 Mac lalu sebelum mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan diwartakan secara rasmi.

Terdahulu, penguatkuasaan akta itu diumumkan sendiri oleh Fahmi pada 14 Jun lepas sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN