Melaka tubuh jawatankuasa khas tangani petani warga asing

Melaka tubuh jawatankuasa khas tangani lambakan petani warga asing

DR. MUHAMAD Akmal Saleh pada sidang akhbar Melaka Agrofest 2025 di Melaka, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani lambakan petani warga asing selewat-lewatnya pada bulan hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, walaupun isu tersebut tidak terlalu serius tetapi kehadiran petani warga asing telah mengganggu ekosistem ekonomi rakyat tempatan.

Beliau berkata, keberadaan petani warga asing bukan sahaja dikesan di kebun-kebun sayuran malah golongan itu berani menjalankan perniagaan di pasar.

“Rata-rata petani kita mengeluh apabila warga asing memonopoli pasaran. Mereka bukan sahaja buat (bekerja) di ladang tetapi turut berniaga di pasar sehinggakan mampu mempengaruhi penetapan harga.

“Justeru, saya telah berbincang dengan pelbagai agensi dan kita akan tubuhkan satu jawatankuasa khas selewat-lewatnya bulan depan yang bertujuan untuk mengekang monopoli dan melindungi ekonomi petani tempatan,” katanya pada sidang akhbar Melaka Agrofest 2025 di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin melalui akaun TikTok memuat naik video luahan peniaga yang terkesan dengan kartel Bangladesh yang dipercayai mengusahakan kebun sayuran di negeri ini.

Pekebun itu mendakwa mereka berdepan tekanan harga daripada peraih yang membeli hasil pertanian dengan harga rendah tetapi menjual semula di pasaran dengan harga lebih tinggi.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal berkata, warga asing dikesan paling ramai terlibat dengan penanaman sayur-sayuran berbanding sektor pertanian lain.

Menurutnya, lebih membimbangkan harga tanaman yang diusahakan warga asing lebih kompetitif sehingga mewujudkan permintaan dalam kelompok berkenaan.

“Contohnya di pasar kadang-kadang orang (pembeli) tidak mahu ambil dengan petani kita (tapi) dia nak ambil dengan warga asing saja. Kos tanaman sayur golongan ini lebih rendah kerana mereka tinggal di kebun dan usahakan sendiri sedangkan petani kita perlu mengeluarkan pelbagai belanja  seperti upah buruh.

“Jadi kita mahu lihat dari aspek pelaksanaan undang-undang atau gubal undang-undang baharu untuk mengekang mereka ini. Ada beberapa perkara yang akan kita umumkan dalam masa terdekat antaranya penggunaan aplikasi untuk mengatasi isu ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN