McDonald’s Malaysia hargai, balas jasa 15,000 guru

McDonald’s Malaysia hargai, balas jasa 15,000 guru

Sesi bergambar bersama Pengarah Jenama Kanan McDonald’s Malaysia, Azman Mohammad (tengah, duduk) dan kesemua para guru pada majlis Sambutan Hari Guru McDonald’s 2025 di McDonald’s Jalan Tun Razak di sini hari ini. UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: McDonald’s Malaysia menganjurkan sambutan Hari Guru McDonald’s 2025 bagi membalas bakti tenaga pengajar yang dicurahkan kepada seluruh pelajar di negara ini.

Sambutan Hari Guru McDonald’s 2025 menyantuni dan meraikan lebih 15,000 guru daripada 300 buah sekolah di Malaysia.

Bersempena dengan sambutan tersebut, restoran-restoran McDonald’s Malaysia secara proaktif mendekati sekolah berdekatan bagi menganjurkan majlis penghargaan, sama ada di sekolah mahupun restoran.

McDonald’s Malaysia turut menganjurkan pelbagai aktiviti menarik, selain menghidangkan makanan.

Pengarah Kanan Jenama McDonald’s Malaysia, Azman Mohammad berkata, guru mempunyai peranan penting dalam membentuk masyarakat di negara ini.

Kata beliau, McDonald’s Malaysia sudah menganjurkan sambutan Hari Guru McDonald’s sejak 2017 menandakan dedikasi restoran dalam menghargai jasa pendidikan.

“Sebagai jenama yang dekat di hati rakyat Malaysia, menyantuni komuniti ini sememangnya adalah salah satu teras syarikat yang kami amalkan tetapi apabila ia melibatkan sambutan hari guru, senyuman dan gelak-tawa mereka yang ceria itulah yang menjadi pendorong kami untuk menganjurkan sambutan ini selama sembilan tahun berturut-turut.

“Guru sememangnya komuniti yang istimewa kepada kami dan oleh kerana itu, kami ingin menyuntik semangat mereka supaya guru dapat sentiasa bersemangat untuk terus mendidik anak bangsa,” katanya ketika menyampaikan ucapan di McDonald’s Jalan Tun Razak, di sini.

AZMAN Mohammad ketika menyerahkan replika cek sumbangan penambahbaikan bilik guru pada majlis Sambutan Hari Guru McDonald’s 2025 di McDonald’s Jalan Tun Razak di sini hari ini. UTUSAN/SYAKIR RADIN

Azman berkata, McDonald’s Malaysia turut berbesar hati menyumbang sebanyak RM5,000 kepada 10 buah sekolah terpilih.

Jelasnya, sumbangan tersebut bagi menaik taraf bilik guru di 10 buah sekolah yang terlibat dan memberi keselesaan.

“McDonald’s Malaysia menyumbang RM50, 000 jumlah keseluruhan kepada 10 buah sekolah bagi menaik taraf bilik guru

“Kami berharap dengan sumbangan ini, ia akan memberi keselesaan kepada guru-uru di bilik mereka nanti,” katanya.

Sementara itu, guru di Sekolah Kebangsaan Taman Keramat (1), Jusliza Rizal Jaafar berkata, beliau sangat menghargai usaha baik daripada McDonald’s Malaysia dan berharap ia terus diperhebatkan.

“Dalam banyak-banyak syarikat korporat, McDonald’s Malaysia antara yang tidak pernah melupakan warga guru. Kami sangat berbesar hati apabila mendapat tawaran untuk menyambut hari guru bersama McDonald’s Malaysia.

“Kami rasa amat dihargai oleh McDonald’s Malaysia kerana usaha mereka adalah sangat signifikan dan sepatutnya dicontohi syarikat-syarikat korporat lain,” katanya.

Sependapat dengan itu, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Bahau 2, Muhammad Nazri Abu Hassan berkata, beliau sangat terharu dengan penganjuran sambutan Hari Guru McDonald’s 2025.

“Ini merupakan tahun kedua saya menjadi seorang guru dan kali pertama disambut oleh McDonald’s Malaysia.

“Saya rasa ini merupakan salah satu inisiatif yang bagus oleh McDonald’s Malaysia kerana ia boleh menghubungkan di antara komuniti dan pihak sekolah. Sambutan ini turut menunjukkan penghargaan kepada seluruh komuniti di Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN