KANGAR: Pemilihan Pas di negeri ini menarik perhatian apabila bakal menyaksikan pertandingan khususnya bagi jawatan tertinggi di tiga kawasan di negeri ini.
Paling menarik perhatian, di kawasan Arau apabila Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli akan mencabar penyandang Yang Dipertua (YDP) kawasan berkenaan, Solahudin Azmi.
Pas kawasan Arau dijadual mengadakan mesyuarat agung tahunan pada 21 Jun ini dengan membabitkan lebih 200 perwakilan daripada 60 cawangan dan pemilihan kali ini menyaksikan pertandingan bagi ketiga-tiga jawatan tertinggi parti di kawasan tersebut.
Jawatan Timbalan YDP disandang oleh Ruselee Eizan yang juga Speaker kerajaan negeri akan dicabar oleh Mohd Ridzuan Hashim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji merangkap Exco kerajaan negeri.
Manakala bagi jawatan Naib YDP kawasan berkenaan, Mohd Yusairi Mansor bakal berdepan saingan seorang lagi Exco kerajaan negeri iaitu Razali Saad juga ADUN Simpang Empat.
Di Padang Besar yang mesyuarat agungnya pada 22 Jun juga menarik perhatian apabila penyandang YDP kawasan itu, Saad Seman iaitu ADUN Chuping dicabar oleh Muhammad Azmir Azizan juga Exco kerajaan negeri.
Sementara itu, di Kangar pula yang akan mengadakan mesyuarat agung pada 28 Jun dijangka menyaksikan pertembungan antara penyandang YDP, Yussaine Yahya dan
Baharudin Ahmad yang juga Senator.
Manakala Abd Jamel Kamis pula akan mempertahankan jawatan Timbalan YDP dijangka berdepan cabaran Dr. Mohd Fauzi.
Bagi jawatan Naib YDP, dijangka bakal menyaksikan pertembungan antara Zairi Bakar dan Asrul Aimran Abd Jalil juga merupakan Exco kerajaan negeri.
Calon-calon yang diketengahkan merupakan hasil proses pencalonan daripada akar umbi, membuktikan pelaksanaan budaya syura secara aktif dalam struktur parti.
Sementara itu, Solahudin berkata, pemilihan ini bukan sahaja penting untuk menentukan hala tuju kepimpinan kawasan, malah memberi kesan langsung terhadap penyusunan strategi parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Lebih utama, pemimpin yang dipilih kelak perlu memikul amanah besar untuk memimpin masyarakat dan menyumbang kepada pentadbiran kerajaan berteraskan acuan Islam yang dibawa oleh Pas,” kata penyandang jawatan YDP kawasan Arau itu..-UTUSAN