SINGAPURA: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bersama Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura, Jeffrey Siow hari ini memperkenalkan secara rasmi reka bentuk dan warna tren Rapid Transit System Link (RTS Link).
Majlis pelancaran yang turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi itu disempurnakan di Pusat Ujian Rel Singapura (SRTC), Tuas di sini.
Tren berwarna ‘livery’, yang menggabungkan warna merah, biru dah putih itu melambangkan warna bendera Malaysia, Singapura dan Johor.
Dalam kenyataan bersama, kedua-dua kementerian tersebut memaklumkan perkhidmatan RTS Link yang dijadualkan beroperasi pada 1 Januari 2027 akan menggunakan lapan tren dibuat China Railway Rolling Stock Corporation (CRRC) Zhuzhou Locomotive Co. Ltd.
Setiap tren terdiri daripada empat gerabak dengan setiap perjalanan mempunyai kapasiti melebihi 600 penumpang dengan setiap jam mampu membawa sehingga 10,000 penumpang.
Setakat ini, kerja-kerja sistem siap pada tahap 56 peratus merangkumi kerja-kerja trek, ‘rolling stock’, ‘traction power supply’ serta integrasi bagi sistem isyarat, komunikasi dan kawalan, manakala kerja-kerja trek dijangka siap menjelang akhir Julai ini.
Sepanjang Julai dan Ogos ini, kerja utama termasuk pemeriksaan, pengujian dan pentauliahan sistem TPS, termasuk sistem ‘intertripping’ dan ‘interlocking’.
Kerja-kerja tersebut penting untuk memastikan kesiapsiagaan sistem bekalan kuasa bagi menyokong aktiviti pengujian tren di Depoh Wadi Hana bermula September depan. – UTUSAN










