Malaysia sedia tawar kepakaran kepada Kyrgyz sektor halal, perbankan Islam

Malaysia sedia tawar kepakaran kepada Kyrgyz sektor halal, perbankan Islam

ANWAR Ibrahim ketika sidang akhbar bersama Presiden Kyrgyz sempena lawatan rasmi ke Malaysia di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia bersedia menawarkan kepakaran dan pengalaman dalam pembangunan sistem perbankan Islam dan industri halal bagi membantu Kyrgyz membangunkan kemudahan serta perkhidmatan berkaitan di negara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia susulan persetujuan kedua-dua
negara untuk menjalinkan kerjasama strategik dalam dua sektor itu, sekali gus membuka lembaran baharu hubungan dua hala negara.

“Sudah tentu kita membincangkan isu perbankan Islam, industri halal, pembinaan, urusan kewangan dan pelaksanaan program termasuk penubuhan institusi perbankan Islam.

“Akan ada pertemuan susulan melibatkan menteri-menteri kedua-dua negara. Presiden Zhaparov telah membawa menteri-menteri utama Kyrgyz ke Malaysia dan saya yakin rakan-rakan saya di Kabinet akan memberi maklum balas positif, bukan sahaja dari sudut memahami dan memperkukuh hubungan, malah memastikan pelaksanaan program dan pelaburan dua hala dapat diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Presiden Kyrgyz, Sadyr Zhaparov di Kompleks Seri Perdana di sini hari ini sempena lawatan rasmi pemimpin itu ke Malaysia.

Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, kedua-dua negara turut bersetuju untuk meneroka pelaksanaan Pelan Tindakan Kerjasama Halal seperti yang dicadangkan oleh Zhaparov sebagai salah satu usaha mengukuhkan kerjasama perdagangan berasaskan nilai Islam.

“Perkara ini akan terus diperincikan dan sememangnya Kyrgyz mempunyai kapasiti besar dalam sektor kuasa hidro, tenaga hijau dan tenaga boleh diperbaharui yang sangat menarik minat Malaysia untuk difahami, dikaji dan dimanfaatkan bersama,” ujarnya.

Difahamkan, tenaga hidro merupakan sumber utama bekalan elektrik di Kyrgyz, merangkumi hampir 90 peratus pengeluaran tenaga negara tersebut.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa Malaysia dan Kyrgyz bersetuju untuk mempertingkat kerjasama dalam bidang pendidikan dan penyelidikan bagi menggalakkan pertukaran rakyat antara rakyat, serta memperluaskan potensi sosial dan ekonomi kedua-dua negara.

Sehubungan itu, Malaysia akan menyalurkan bantuan teknikal dan pendidikan kepada rakyat Kyrgyz melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).

“Institusi-institusi kita bersedia menerima rakyat Kyrgyz untuk dilatih, dan kita juga amat menghargai sekiranya dapat mengadakan pertukaran pelajar serta tenaga pakar dengan negara anda,” tambahnya.

Lawatan rasmi Presiden Kyrgyz ke Malaysia ini menjadi detik penting dalam memperkukuh hubungan strategik rantau Asia Tengah–Asia Tenggara, sekali gus membuka lebih banyak ruang kerjasama dua hala yang mampan dan menyeluruh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN