Malaysia pertimbang teroka teknologi nuklear

Malaysia pertimbang teroka teknologi nuklear

FADILLAH Yusof bersama Ketua Pengarah ROSATOM, Tuan Alexey Likhachev bagi memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia dan Persekutuan Rusia dalam pembangunan tenaga nuklear bagi tujuan aman. - FACEBOOK FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia serius mempertimbangkan tenaga nuklear sebagai antara pilihan utama dalam memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil, bersih dan boleh dipercayai.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah itu seiring dengan pelaksanaan Rangka Kerja Peralihan Tenaga Nasional (NETR) bagi memperkukuh keselamatan tenaga negara serta memenuhi komitmen terhadap perubahan iklim.

Katanya, kajian prakebolehlaksanaan berkaitan tenaga nuklear sebagai sumber penjanaan elektrik telahpun disiapkan dengan dapatan awal menunjukkan potensi besar tenaga itu untuk negara.

“Malaysia sedang meneroka dan mempertimbangkan pelaksanaan tenaga nuklear secara berhati-hati dan terancang, selaras dengan piawaian keselamatan, sekuriti dan prinsip bukan penyebaran senjata nuklear di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau berkata demikian semasa mengetuai mesyuarat dua hala bersama Kerajaan  Persekutuan Russia berhubung kerjasama strategik dalam bidang tenaga sempena lawatan kerja ke negara itu.

Fadillah berkata, kerjasama dengan ROSATOM (syarikat tenaga nuklear Russia) memberi peluang kepada Malaysia menilai secara dekat aspek teknologi, kecekapan operasi dan standard keselamatan dalam penggunaan tenaga nuklear untuk tujuan aman.

Terdahulu, delegasi Malaysia turut mengadakan lawatan ke Loji Kuasa Nuklear Leningrad yang diiktiraf mempunyai tahap keselamatan dan kecekapan operasi tinggi.

Menurut Fadillah, pengalaman lebih 80 tahun yang dimiliki ROSATOM dalam bidang teknologi nuklear menjadikan syarikat itu rakan strategik penting dalam usaha Malaysia menilai potensi tenaga nuklear.

Tambahnya, kerjasama sedia ada antara Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan MyPOWER, selaku agensi pelaksana program tenaga nuklear yang diiktiraf Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), juga menunjukkan kemajuan apabila kedua-dua pihak telah menandatangani Perjanjian Kerahsiaan (NDA) dengan ROSATOM.

Menurutnya, perjanjian itu membuka laluan kepada penilaian lebih mendalam terhadap pelbagai teknologi termasuk Loji Kuasa Nuklear Terapung (Floating Nuclear Power Plant, FNPP) dan Reaktor Modul Kecil (Small Modular Reactors, SMRs).

“Selain teknologi, Malaysia juga memberi perhatian kepada pembangunan tenaga kerja mahir, pembangunan infrastruktur, rangka kawal selia serta libat urus awam yang berkesan bagi memastikan pelaksanaan program ini dibuat secara bertanggungjawab,” katanya.

Menurutnya, semua keputusan berkaitan tenaga nuklear akan dibuat secara teliti dan berlandaskan kepentingan keselamatan rakyat serta masa depan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN