Malaysia perlu bantah serangan AS terhadap Iran

Malaysia perlu bantah serangan AS terhadap Iran

TUAN Ibrahim Tuan Man bercakap dalam sidang akhbar Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Parit di Seri Iskandar, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Kerajaan perlu menyatakan bantahan terhadap tindakan Amerika Syarikat (AS) yang melancarkan serangan udara ke atas Iran, hari ini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Malaysia dan negara-negara lain perlu menyatakan bantahan terhadap serangan yang tidak berperikemanusiaan itu.

Katanya, teguran keras perlu diberikan kepada AS termasuk menghantar nota bantahan kepada Duta AS di negara ini.

“Pas melahirkan rasa berduka cita terhadap serangan AS ke atas Iran. Kita bantah sekeras-kerasnya campur tangan AS membantu Israel dalam keadaan kezaliman Israel pada rakyat Palestin. 

“Hospital dibom, anak-anak dibunuh dan sebagainya. Macam mana AS boleh bertindak menyokong Israel? Kita harap kerajaan bertegas supaya sesuatu perlu dibuat sebagai menyatakan bantahan bersama-sama dengan negara lain,” katanya ketika ditemui pada Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Parit di Seri Iskandar di sini, hari ini.

Hari ini, Donald Trump menyatakan tentera AS melancarkan serangan ke atas tiga tapak nuklear Iran termasuk kemudahan pengayaan uranium bawah tanah di Fordow.

Susulan serangan itu, seorang ahli Kongres AS mendakwa Trump telah melancarkan serangan udara ke atas Iran tanpa kebenaran rasmi daripada Kongres, mencetuskan perdebatan hangat mengenai kuasa perlembagaan dan pembabitan ketenteraan AS di luar negara.

Tuan Ibrahim berkata, Senat AS turut membantah tindakan campur tangan Trump yang tidak mengikut prosedur.

Beliau berkata, sepatutnya ia perlu dibawa kepada Senat terlebih dahulu dan diluluskan Parlimen sebelum sebarang tindakan dilakukan.

“Tiba-tiba Trump bertindak di luar daripada peraturan. Kita harapkan serangan ini tidak merebak sebab kemungkinan meletusnya perang lebih besar. Dengan campur tangan AS,  kita bimbang kalau tak dibendung, ia akan jadi satu perang, satu petaka besar di Timur Tengah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN