MELAKA: Malaysia menjadi negara pertama menyelaraskan pengakreditasian industri Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ditawarkan kepada seluruh negara ASEAN, kata Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid berkata, ia dipersetujui pada mesyuarat menteri-menteri dan pegawai kanan negara anggota yang mahu Malaysia mengkoordinasi akreditasi itu serta diterima pakai oleh ASEAN.
“Apa yang kami tawarkan adalah lebih daripada dasar, ia adalah model yang terbukti. Model yang dibina berdasarkan penyampaian sebenar, amalan inklusif. Malaysia bersedia untuk berkongsi, menyokong dan skala model ini untuk kepentingan ASEAN secara keseluruhan.
“Apa yang lebih penting adalah untuk meningkatkan TVET sebagai ekosistem serantau ASEAN sebagai misi kolektif ke hadapan.
“Dialog hari ini adalah mengenai membina seluruh ekosistem ASEAN yang meletakkan TVET di tengah-tengah masa depan di rantau ini dengan Majlis TVET ASEAN (ATC) sebagai pusat utama yang menghubungkan dasar, menyelaraskan piawaian dan mendorong pertumbuhan bersama,” katanya ketika ditemui pada Sesi Dialog Dasar Serantau ATC Keempat di sini, hari ini.
Dialog itu menampilkan 29 ahli panel pakar dari negara anggota ASEAN, Australia serta Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), terdiri daripada pembuat dasar, pegawai kerajaan, pihak industri dan tenaga pengajar TVET melibatkan lebih 300 peserta secara fizikal dan dalam talian.
Tambah Ahmad Zahid, dialog itu juga menunjukkan keperluan meluaskan akses TVET kepada komuniti luar bandar, terutamanya golongan belia kerana masa depan tidak dapat dibina berdasarkan kemahiran bersendirian.
Katanya, bidang TVET di Malaysia mula mengadakan kursus-kursus berkaitan bidang robotik, internet kebendaan (IoT) dan kenderaan elektrik yang amat diperlukan oleh pemain industri.
“Kerajaan juga sedang menyesuaikan kursus-kursus TVET mengikut permintaan pemain industri agar ia kekal relevan dan menjadi pilihan pelajar untuk menyambung pengajian di peringkat tinggi,” ujarnya. – UTUSAN