Malaysia mahu perluas hubungan pertahanan dengan Poland - PM

Malaysia mahu perluas hubungan pertahanan dengan Poland – PM

ANDRZEJ Duda memeriksa kawalan kehormat di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia berhasrat memperluaskan hubungan jangka panjang dalam perolehan pertahanan dengan Poland sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara yang dibincangkan bersama Presiden Poland, Andrzej Duda semasa lawatan rasmi pemimpin itu ke Malaysia, yang juga merupakan lawatan pertama pemimpin kanan Kerajaan Poland sejak tahun 1999.

Beliau berkata, Poland kini muncul sebagai pemain penting di peringkat serantau dan Kesatuan Eropah, hasil pertumbuhan pesat dalam bidang teknologi baharu, kecerdasan buatan digital, teknologi makanan dan tenaga boleh diperbaharui termasuk hidrogen hijau.

“Pertumbuhan luar biasa ini sangat mengagumkan dan menjadikan Poland rakan strategik yang penting.

Saya percaya terdapat potensi besar untuk memperkukuh hubungan dua hala, khususnya dalam bidang pertahanan, perdagangan, pelaburan, teknologi digital dan industri makanan,” katanya dalam sidang akhbar bersama di bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Anwar berkata, keutamaan dalam memenuhi keperluan Kementerian Pertahanan harus diletakkan sepenuhnya di bawah tanggungjawab pasukan profesional di kementerian tersebut.

Katanya, mereka seharusnya diberikan ruang sepenuhnya untuk membuat penilaian dan cadangan.

“Jika kita mempunyai sumber, sudah tentu kita akan memberikan sokongan. Setakat ini, berdasarkan laporan yang telah dikemukakan kepada saya, penggunaan kereta kebal buatan Poland telah menerima maklum balas yang sangat positif.

“Begitu juga dengan sistem elektronik (berkaitan pertahanan), yang turut mendapat komen yang baik. Oleh itu, saya menantikan cadangan daripada kedua-dua pihak dan berharap kerjasama ini dapat diteruskan dan diperluas, khususnya dalam bidang baharu pertahanan.

“Ini memandangkan Kerajaan Poland juga telah memperuntukkan dan menambah dana tambahan untuk menyokong industri tersebut,” katanya.

Pada masa sama, Anwar turut memuji prestasi perdagangan dua hala yang menunjukkan peningkatan sebanyak 19.5 peratus dari tahun 2023 ke 2024, menggambarkan potensi besar kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Poland.

Beliau berkata, Malaysia menyambut baik perkembangan itu dan mengharapkan lebih banyak kerjasama dalam sektor eksport melibatkan minyak sawit, produk kayu, getah, serta barangan elektrik dan elektronik (E&E).

“Perbincangan turut meliputi usaha memperkukuh kerjasama dalam teknologi makanan halal, memandangkan kekuatan Poland dalam bidang teknologi moden dan makanan,” katanya.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai isu antarabangsa termasuk konflik di Ukraine, dengan Anwar menegaskan pendirian Malaysia yang konsisten dalam menyokong penyelesaian secara aman.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Poland atas sokongan terhadap Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) termasuk penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza serta sokongan terhadap penyelesaian dua negara (two-state solution).

“Saya percaya terdapat keperluan mendesak untuk memastikan keamanan dan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan ke Gaza dan wilayah yang diduduki,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar memaklumkan bahawa Presiden Poland akan meneruskan lawatan ke Port Dickson untuk program bersama Kementerian Pertahanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN