Malaysia, Kyrgyz sepakat gesa komuniti antarabangsa iktiraf semula Afghanistan

Malaysia, Kyrgyz sepakat gesa komuniti antarabangsa iktiraf semula Afghanistan

ANWAR Ibrahim bersama Sadyr Zhaparov sempena lawatan rasmi Presiden Kyrgyz ke Malaysia di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia dan Kyrgyz menyuarakan sokongan agar Afghanistan diterima semula oleh komuniti antarabangsa dengan beberapa syarat-syarat tertentu sebagai langkah penting ke arah kestabilan serantau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, gesaan itu dibuat berikutan Malaysia menyokong pandangan Presiden Kyrgyz, Sadyr Zhaparov bahawa Afghanistan perlu kembali diterima komuniti antarabangsa.

“Kami turut menyentuh isu antarabangsa termasuk situasi di Afghanistan. Saya menyokong pandangan Presiden Zhaparov bahawa Afghanistan perlu kembali diterima komuniti antarabangsa dengan syarat-syarat tertentu.

“Saya berkongsi pandangan dalam hal ini kerana sebagai sebuah negara lebih dekat dengan Afghanistan, pastinya Kyrgyz mempunyai pemahaman lebih mendalam dan kami pasti mengambil manfaat daripada nasihat serta pandangan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Zhaparov sempena lawatan Presiden Kyrgyz di Kompleks Seri Perdana di sini hari ini.

Untuk rekod, ketika ini, tiada negara di dunia secara rasmi mengiktiraf pemerintahan Taliban sebagai kerajaan yang sah bagi Afghanistan selepas kumpulan itu mentadbir negara berkenaan sebagai Emiriah Islam Afghanistan sejak 2021.

Dalam perkembangan sama, Anwar turut mengulangi pendirian tegas Malaysia berhubung isu Palestin dan Gaza yang terus menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.

“Malaysia menggesa Israel menghentikan segala bentuk keganasan, penjajahan dan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza.

“Kami menyokong penuh hak rakyat Gaza untuk hidup dalam keadaan aman dan berdaulat, selepas sekian lama dizalimi dan dikhianati oleh kegagalan masyarakat antarabangsa,” katanya.

Jelas Anwar, Malaysia juga mengecam sikap hipokrit segelintir negara barat yang berdiam diri terhadap kekejaman Israel tetapi lantang dalam isu lain melibatkan negara Islam.

Sementara itu, Kyrgyzstan turut menyatakan kebimbangan mendalam terhadap peningkatan ketegangan yang boleh membawa kepada ketidakstabilan berterusan di Asia Barat.

Dalam isu ini, Zhaparov menyeru semua pihak untuk menahan diri daripada sebarang tindakan yang boleh memburukkan keadaan, sebaliknya, menyelesaikan krisis ini secara aman.

Malangnya, jelas beliau, insiden tragik di Semenanjung Gaza masih berterusan.

“Sebagai negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kami percaya bahawa kita semua bertanggungjawab untuk mencari penyelesaian kolektif terhadap konflik ini secara damai.

“Sebagai tanda sokongan, Kyrgyz mendukung usaha bersepadu komuniti antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB, bagi mencapai penghentian segera permusuhan, menangani krisis kemanusiaan di Gaza, memulakan dialog politik, dan menyelesaikan konflik Palestin-Israel berdasarkan resolusi-resolusi PBB serta prinsip dua negara untuk dua bangsa,” katanya.

Pada masa sama, Kyrgyz mengiktiraf dan menyokong hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, menubuhkan negara merdeka, dan menjadi anggota penuh PBB. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN