PUTRAJAYA: Malaysia terus mengharapkan pertikaian antara Pakistan dan India dapat dinoktahkan dengan aman.
Harapan itu dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Putra, di sini.
Anwar menolak bahawa beliau mempunyai peranan dalam usaha mendamaikan dua negara yang berseteru itu, sebaliknya hanya memberi pandangan supaya kesepakatan dapat dicapai dengan kadar segera.
“Kita cuma mengharapkan ada pendamaian (antara Pakistan dan India) sahaja. Saya tidak ada peranan apa-apa, cuma memberikan pandangan sahaja,” katanya.
Pada 22 April lalu, berlaku serangan yang mengorbankan sebanyak 26 orang awam di Pahalgam, Kashmir sehingga menyebabkan salah faham dan konflik antara Pakistan dan India terus memuncak.
Menerusi insiden tersebut, India menuduh Pakistan menyokong kumpulan militan, Barisan Penentangan (TRF) tetapi Pakistan berkeras menafikan penglibatan mereka.
Dalam pada itu, Anwar berkata, hasrat Pakistan untuk menjadi rakan dialog penuh ASEAN akan dipertimbangkan.
“Itu akan dibawa ke persidangan dan perbincangan dengan ketua-ketua ASEAN,” katanya.
Sebelum ini, Duta Pakistan ke Malaysia, Syed Ahsan Raza Shah mengulangi komitmen Islamabad untuk memperkukuh kerjasama serantau dan penglibatan dengan ASEAN.
Syed Ahsan berkata, Pakistan yang merupakan rakan dialog sektoral pertama ASEAN sejak 1993, telah lama menghargai kerjasama dengan blok serantau itu dan berhasrat memperluaskan lagi kerjasama sedia ada.-UTUSAN