KUANTAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini, mengekalkan sabitan terhadap seorang peneroka Felda dan mensabitkan dua lagi individu atas kesalahan menipu membabitkan wang berjumlah RM66,300 berkaitan pajakan tanah sawit di Sungai Cherabang, Mukim Telang, Lipis, enam tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd. Radzi Harun menolak rayuan Rosli Awang Ngah, 62, selaku perayu dan membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap dua responden iaitu Shahrul Azizul Muda, 44, serta Muhammad Azman Zainal Hamzah, 36.
Ketiga-tiga mereka sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama kerana dengan niat bersama menipu seorang individu sehingga mangsa menyerahkan wang deposit pajakan tanah sawit kepada mereka.
Mangsa dikatakan diperdaya kononnya wang tersebut diperlukan bagi urusan dengan pihak berkuasa dan kerajaan untuk memajakkan tanah di kawasan Hutan Simpan tersebut.
Mengikut fakta kes, mereka didakwa memperdaya individu berkenaan untuk menyerahkan wang RM66,300 yang dikatakan sebagai deposit pajakan tanah kelapa sawit di Sungai Cherabang, Mukim Telang di Lipis, antara 15 Februari hingga 19 Jun 2019 menerusi tiga transaksi ke akaun bank milik Rosli dan Sharul Azizul di CIMB cawangan Kuala Lipis dan Maybank Raub.
Dalam keputusan hari ini, Mahkamah Tinggi menegaskan bahawa terdapat kekhilafaan Mahkamah Sesyen sebelum ini yang melepas dan membebaskan Shahrul Azizul dan Muhammad Azman daripada pertuduhan.
Mahkamah memutuskan untuk mensabitkan kedua-dua mereka dan menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan serta satu sebatan ke atas masing-masing. Bagi Rosli yang merupakan seorang peneroka, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan serta denda RM5,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda. Tiada hukuman sebatan dikenakan terhadapnya kerana faktor umur.
Hukuman terhadap ketiga-tiga tertuduh berkuat kuasa mulai tarikh sabitan iaitu hari ini dan permohonan untuk penangguhan pelaksanaan hukuman ditolak oleh mahkamah. – UTUSAN