SEREMBAN: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan larangan bersuara (gag order) bagi melarang pihak plaintif dan defendan mengeluarkan kenyataan berkaitan kes saman fitnah Norfaralinah Md Yunus atau Fara Mendoza terhadap pelakon Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul.
Perintah itu dikeluarkan Hakim Norina Zainol Abidin selepas perbicaraan kes tersebut bermula hari ini dengan dua saksi dipanggil memberi keterangan termasuk Fara Mendoza, 37
Bagaimanapun, prosiding perbicaraan itu yang bermula sekitar 10 pagi dan berakhir pada pukul 4.30 petang tadi berlangsung secara tertutup.
Terdahulu, Zarina Anjoulie atau Anju, 38, ketika ditemui media di luar mahkamah berharap kes isu saman fitnah itu yang telah berlarutan sejak empat tahun lalu dapat diselesaikan segera.
“Sudah empat tahun kes ini dan kita pun mahu ia berakhir, kita tengok macam mana dan doakan yang terbaik,” katanya.
Fara Mendoza diwakili Tetuan Rejinder Singh & Associates turut kelihatan hadir ke mahkamah hari ini.
Perbicaraan kes tersebut akan bersambung semula pada 24 Julai dan 4 Ogos depan.
Anju sebelum ini berjaya membatalkan penghakiman yang dimasukkan Fara Mendoza di Mahkamah Tinggi Seremban di sini.
Ia susulan dakwaan bahawa Anju tidak menerima salinan saman secara peribadi dan menyangka peguam terdahulu yang dilantik membela nasibnya.
Difahamkan, peguam terdahulu diserang angin ahmar dan firma guamannya sudah pun ditutup.
Anju kemudian membuat tuntutan balas terhadap saman Fara Mendoza. Artis kontroversi itu menuntut ganti rugi RM3 juta, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan perintah injunksi menghalang Fara Mendoza daripada membuat kenyataan fitnah pada masa hadapan.
Selain itu, Anju menuntut supaya Fara Mendoza menarik balik kenyataan fitnah yang dibuat dan membuat permohonan maaf. Beliau juga menuntut kos tindakan dan relif yang dianggap sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN