PETALING JAYA:Persatuan Veteran Kaum Cina Tentera Darat Malaysia (MACVA) menyifatkan jumlah rendah kaum Cina membabitkan pegawai dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai perkara yang membimbangkan.
Justeru, Presiden MACVA, Lt. Kol. (B) Wong Ah Jit berkata, pihaknya menyatakan sokongan penuh dan menyeru lebih ramai belia kaum Cina untuk mempertimbangkan kerjaya dalam ketenteraan.
“Kerjaya ketenteraan bukanlah laluan yang mudah, tetapi ia membentuk peribadi, menyemai disiplin serta membina kepimpinan dalam diri mereka.
“Yang paling penting, ia memberi peluang kepada golongan muda untuk menyumbang secara langsung dalam pembinaan negara serta memikul tanggungjawab mulia melindungi rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini.
Terdahulu, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar menyeru lebih ramai rakyat bukan bumiputera menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) susulan jumlah penyertaan golongan itu masih rendah ketika ini.
Mohd. Nizam berkata, ATM perlu dilihat sebagai antara peluang kerjaya yang terbuka untuk diceburi kerana ia satu bidang profesional yang jauh berbeza daripada bidang lain.
Mengulas lanjut, Ah Jit turut menegaskan bahawa nenek moyang masyarakat Cina suatu ketika dahulu pernah berkhidmat dengan bangga mempertahankan negara, meninggalkan legasi maruah dan pengorbanan.
Jelasnya, generasi hari ini perlu meneruskan tradisi tersebut dan memastikan masyarakat Cina terus mempunyai suara, kehadiran serta sumbangan dalam tentera.
“Menyertai angkatan tentera bukan bermakna melepaskan impian. Ia bermaksud memilih satu laluan yang berbeza iaitu laluan yang penuh cabaran dan peluang yang lebih luas.
“Sama ada di hutan Sabah, di perairan Selat Melaka, mahupun dalam misi pengaman antarabangsa, anggota tentera adalah pelindung negara dan sebahagian daripada masyarakat majmuk yang bersatu padu
“Ini adalah negara kita, tanah air kita. Pertahanan negara tidak seharusnya tanpa kehadiran serta sumbangan masyarakat Cina,” katanya. – UTUSAN