IPOH: Laporan bedah siasat ke atas lelaki yang ditemukan maut dengan kesan tikaman pada bahagian perut di sebuah rumah di Taman Tasek Damai di sini kelmarin, menemukan luka tembakan di dada kiri.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, laporan itu diperoleh selepas proses bedah siasat ke atas mangsa berusia 57 tahun itu selesai dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), semalam.
“Selain kesan kecederaan akibat tikaman, terdapat juga kesan luka tembakan di dada kiri. Pasukan forensik mengesahkan mangsa maut akibat kecederaan tembakan pada bahagian dada,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Mohd. Rezan Yussop@Ariffin di talian 016-9648706 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Menerusi laporan media semalam, seorang lelaki yang merupakan penjual sambilan produk kesihatan ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di ruang dapur rumahnya pada pukul 8.26 malam.
Pemeriksaan pada tubuh mangsa menjumpai kesan tikaman di kanan perut dan kesan hirisan di bahagian dada.
Susulan kejadian itu, pihak polis telah menahan seorang lelaki yang juga anak mangsa berusia 31 tahun bagi membantu siasatan.
Lelaki yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu direman selama tujuh hari sehingga Selasa depan. – UTUSAN