REMBAU: Lima rakyat Malaysia terdiri daripada empat orang pelajar serta seorang peniaga masih berada di Iran serta telah menandatangani akujanji tidak menyertai evakuasi pulang ke negara ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kesemua lima individu itu mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia dan Wisma Putra dan memilih untuk terus tinggal di negara bergolak itu.
Menurutnya, proses evakuasi rakyat Malaysia di Iran sudah pun selesai pada tengah malam 21 Jun lalu dengan membawa pulang 24 individu dan seorang rakyat Singapura.
“Ada empat pelajar yang masih tinggal di sana (Iran). Mereka sendiri tak mahu balik, mereka tandangani akujanji, mereka kata terima kasih kerajaan Malaysia, terima kasih Wisma Putra.
“Kami (kata pelajar itu) memilih terus tinggal di sini. Tak ramai rakyat Malaysia di Iran, di Qatar ada lebih 5,000 (rakyat Malaysia). Alhamdulillah, selepas pengeboman pangkalan Amerika Syarikat di Qatar dah tak ada apa (serangan) lagi.
“Ruang udara Qatar dah dibuka dan rakyat Malaysia di Qatar berada dalam keadaan selamat,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Koperasi Kaum Ibu Penajes di sini, hari ini.
Dalam majlis berkenaan, Mohamad turut mengumumkan Wisma Putra dalam proses untuk menjadikan Kampung Sawah Raja, di sini, sebagai Kampung Angkat Madani dengan peruntukan RM1 juta dan Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Batu Hampar sebagai sekolah angkat Madani. – UTUSAN