JOHOR BAHRU: Kebakaran membabitkan lima buah premis kilang di Kawasan Perindustrian Kota Puteri berhampiran Taman Megah Ria di sini tidak melibatkan sebarang mangsa.
Timbalan Ketua Zon Johor Bahru, Penguasa Kanan Bomba II, Rosfarawadi Ismani Ismail berkata, kejadian kebakaran melibatkan kawasan seluas kira-kira 1,000 meter persegi.
Menurut beliau, pihaknya mendapat panggilan berhubung kejadian pada pukul 12.54 tengah hari.
“Pemeriksaan awal mendapati empat premis iaitu stor simpanan minyak enjin, premis kitar semula, premis membuat sabun dan premis parkir lori terbakar keseluruhan, manakala sebuah premis cuci kenderaan tidak musnah sepenuhnya.
“Ketika kejadian, pemandu lori telah meninggalkan kenderaan dan menyelamatkan diri. Antara yang musnah termasuklah lima lori tangki, lima buah motosikal dan tiga kenderaan peribadi,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, di sini hari ini.
Tambah Rosfarawadi Ismani, seramai 34 anggota beserta sembilan jentera dari lima balai bomba berasingan telah dikejar ke lokasi kejadian.
“Ketika ini keadaan kebakaran telah berjaya dikawal, namun operasi masih diteruskan bagi memastikan tiada kebakaran kembali terjadi.
“Punca kebakaran masih terlalu awal untuk dikenal pasti namun berdasarkan keterangan pekerja, kebakaran dipercayai berpunca dari kawasan kitar semula dan simpanan minyak enjin,” ujarnya.
Rosfarawadi Ismani turut memberitahu arahan pengosongan kediaman penduduk berhampiran dibuat bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.
“Penduduk akan dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing selepas kawasan dipastikan selamat sepenuhnya,” jelasnya lanjut. – UTUSAN