SABAK BERNAM: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos mengesahkan dirinya bebas kanser tahap empat selepas lima bulan bertarung nyawa melawan penyakit itu.
Jamal berkata, penyakit kanser dihidapi pada awalnya dikesan di paru-paru sebelum merebak ke otak dan seluruh badan.
“Namun, kini ia sudah tidak lagi dikesan dalam tubuh selepas menjalani rawatan intensif.
“Setelah bertarung empat ke lima bulan dengan kanser tahap akhir, doktor pakar akhirnya mengesahkan kanser hilang daripada badan saya,” katanya hari ini.
Menurutnya, perjuangan melawan penyakit itu bukan mudah namun kecekalan dan semangat tidak berputus asa menjadi kunci kekuatan untuk terus bertahan.
“Alhamdulillah, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan, sahabat handai dan seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus mendoakan kesihatan saya,” katanya.
Utusan Malaysia pada 28 Mac lalu melaporkan Tun Dr. Mahathir Mohamad menegur segelintir pihak yang meminta Jamal supaya memohon maaf kepada bekas Perdana Menteri itu.
Jamal ketika itu sedang dirawat di sebuah hospital swasta selepas mengadu sakit di bahagian leher dan kepala.
Hasil pemeriksaan doktor termasuk ujian pengimejan resonans magnet (MRI) menunjukkan sel kanser merebak ke bahagian otak dengan saiz ketumbuhan sekitar tiga sentimeter.
Dr. Mahathir menegaskan, semua pihak sepatutnya tidak perlu mengungkit kisah lama kepada saudara se-Islam ketika sedang menghadapi kesukaran.
Jamal antara pengkritik keras Mahathir ketika bekas Perdana Menteri itu masih bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pada September 2022, Jamal yang memegang jawatan Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor dikejarkan ke hospital selepas tiba-tiba jatuh sakit sebaik menghadiri program parti itu di Sungai Besar. – UTUSAN